Berita Malaysiakini

Mufti Perlis perjelas sebab cuti panjang

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas beberapa hari berita percutiannya dilaporkan media, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya hari ini tampil menjelaskan bahawa beliau memohon cuti panjang untuk menduduki kerusi 'Sarjana Tamu' di Universiti Oxford di United Kingdom.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106

Beliau yang mula bercuti mulai semalam (30 September) akan menduduki kerusi tersebut selama 10 bulan, mulai 5 Oktober depan.

Dr Juanda juga berkata pemergiannya untuk menjadi 'Sarjana Tamu' di Universiti Oxford itu telah diperkenan oleh Raja Perlis selaku ketua agama negeri itu.

"Tuanku memperkenannya kerana peluang tersebut jarang dan sukar diperolehi," katanya sambil menambah, beliau tidak mahu bercakap mengenai perkara itu sebelum ini, kerana belum ada hitam-putih.

Dr Juanda memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau sedang sibuk menguruskan persediaan ke sana, merangkumi urusan permohonan visa dan menyelesaikan urusan tertangguh di pejabatnya di Perlis.

Beliau dilantik sebagai mufti - yang dianggap kerusi panas di Perlis - pada 3 Februari lalu, menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Percutiannya itu - hanya selepas lapan bulan memegang jawatan tersebut - telah menimbulkan pelbagai spekulasi apabila Dr Mohd Asri - yang juga rakannya - sebelum ini memilih bersara awal kerana "tidak selesa dengan permainan politik" beberapa pihak dalam kerajaan negeri, berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Dr Juanda juga menjelaskan beliau tidak menghadapi sebarang masalah pentadbiran kerana sudah biasa dengan urusan pentadbiran di jabatan-jabatan kerajaan sebelum ini.

Di Universiti Oxford, Dr Juanda akan berkhidmat di pusat pengajian Islam universiti berkenaan dan menjalankan kajiannya berkaitan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, yang melibatkan interaksi antara agama.

Segala kos kajiannya selama berkhidmat akan ditanggung sepenuhnya oleh universiti berkenaan, jelas Dr Juanda.

Dr Juanda dipercayai mufti pertama di Malaysia yang dijemput menduduki kerusi penting dan berprestij itu.

Ditanya siapakah yang akan memangku tugasnya selama beliau bercuti, Dr Juanda berkata, beliau tidak pasti kerana perkara itu tertakluk di bawah bidang kuasa Raja Perlis dan akan diputuskan kelak oleh baginda.

Oleh yang demikian, tambahnya, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) juga tidak mengetahuinya.

Dr Juanda sebelum ini merupakan timbalan mufti negeri Sarawak selama lima tahun. Beliau dipinjamkan oleh kerajaan Sarawak untuk berkhidmat di Perlis selama tiga tahun, sehingga Februari 2012.

Dr Juanda, anak kelahiran Igan dekat Sibu, menuntut di Universiti Al-Azhar dari 1991 hingga 1995 dalam jurusan syariah.

Sebelum itu, beliau menuntut di Kolej Islam Klang.