Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar M'sia di Padang mahu pulang segera
Diterbitkan:  Oct 1, 2009 12:32 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Kira-kira 300 penuntut Malaysia di Universitas Andalas, yang terlibat dalam kejadian gempa bumi yang melanda Padang, Indonesia lewat petang semalam, berharap kerajaan dapat membantu menyegerakan kepulangan mereka ke tanah air.

Pelajar perubatan di universiti itu, Rafiza Nazir berkata pada masa tidak

menentu di Padang ketika ini, mereka mahu segera pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, harapan itu seakan terbantut apabila dimaklumkan kepulangan mereka akan dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengutamakan penuntut yang cedera.

"Kami berkumpul di universiti sejak kira-kira 1 tengah hari untuk mendengar berita mengenai kepulangan kami (ke Malaysia) tetapi dua jam kemudian, kami dimaklumkan hanya 88 penuntut cedera yang akan dihantar pulang dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama dari sini, hari ini.

Menurutnya Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI)

memaklumkan kepada mereka bahawa hanya sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dibenarkan mendarat pada sesuatu masa.

Rafiza, 23, penuntut perubatan tahun dua di universiti itu, berkata baki

penuntut yang lain tidak pula diberitahu bila mereka boleh pulang ke tanah air.

"Buat masa sekarang, saya dan rakan-rakan hanya boleh terus menunggu di kawasan universiti untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 yang melanda Sumatera Barat kira-kira 5.16 petang waktu Indonesia Barat semalam mengakibatkan beberapa bangunan utama di Padang mengalami kerosakan teruk, seperti Rumah Sakit Umum Pusat M Jamil Padang, Rumah Sakit Selasih dan Hotel Rocky.

Menurut laporan, Kota Padang juga diselubungi kegelapan malam tadi berikutan terputusnya bekalan elektrik selain hujan lebat yang memeritkan lagi keadaan penduduk yang masih terkejut dengan kejadian gempa bumi itu.

Satu lagi gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter, menggegarkan Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 km di Barat laut Bengkulu, Indonesia pada jam 9.53 pagi ini.

Pusat gempa bumi itu terletak di 2.6 darjah Selatan dan 101.8 darjah Timur iaitu kira-kira 509km barat daya Johor Baharu menyebabkan gegaran dirasai di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, kata Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan.

Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan itu.

Semalam, sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat.

ADS