Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lari lintang pukang takut tsunami
Diterbitkan:  Oct 2, 2009 3:45 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

"Air laut tiba-tiba surut dan jalan raya terbelah dua," itulah antara fenomena yang disaksikan seorang penuntut Malaysia di Padang ketika gempa bumi kuat berlaku Rabu lalu.

indonesian earthquake in padang sumatra Melihat keadaan yang menakutkan itu, Mohd Ashraf Abdul Hamid, 23, yang ketika itu berada di tepi pantai, lari lintang pukang kerana takut akan berlaku tsunami.

"Orang kata kalau air laut surut secara tiba-tiba itu tandanya tsunami. Saya cepat-cepat melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang seperti orang mabuk," katanya ketika di temui di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau sebelum pulang ke Malaysia dengan pesawat tentera awal hari ini.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Mohd Ashraf berkata beliau merasakan badannya bergoyang dan jatuh dari motosikal serta melihat orang ramai terbaring di jalan.

Pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universitas Andalas itu berkata selepas gempa kira-kira setengah jam itu, kelihatan mayat bergelimpangan di bawah runtuhan bangunan.

sumatra earthquake "Saya tengok anggota polis mengutip cebisan anggota manusia yang tertimbus seperti tangan dan kaki. Itu lah kali pertama saya lihat kejadian seumpama itu," katanya.

Mohd Ashraf yang berasal dari Shah Alam, Selangor, bersyukur dan turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membawa pulang semua pelajar di Padang.

S Punitah, 19, juga pelajar perubatan dari Universitas Andalas menceritakan detik cemas apabila bumi tiba-tiba bergegar kira-kira setengah jam ketika beliau dan beberapa rakannya sedang berbincang di rumah sewanya di Jati Rawang, Kecamatan Padang Timur di Padang.

Beliau dihempap dinding di kiri dan kanan bangunan semasa melalui lorong untuk keluar dari rumahnya.

"Saya bernasib baik sebab rakan-rakan lelaki sempat menarik saya keluar, kalau tidak mungkin saya sudah menjadi mangsa," katanya yang lari menyelamatkan diri bersama rakan-rakannya ke kawasan bukit sejauh kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Punitah berkata keadaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kawasan sekitar ranap sama sekali dan kelihatan mayat tertimbus di bawah runtuhan bangunan serta kebakaran di sana sini.

"Saya bersyukur sangat bila dibenar pulang ke Malaysia, tetapi kejadian itu tidak mematahkan semangat saya untuk menghabiskan pengajian saya," kata pelajar tahun pertama itu.

Norashakirah Ariffin, 23, sedang menghadiri kelas di Universitas Iain Imam Bonjol di Lubok Lintah apabila secara tiba-tiba merasakan seluruh bangunan bergegar.

"Kami semua diarah keluar bangunan oleh pihak universiti kerana gempa bumi. Masa itu Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya, takut bercampur sedih, namun saya berdoa supaya semua selamat," katanya.

Pelajar jurusan Usuluddin yang berasal dari Melaka itu, berkata beliau bersyukur kerana semua rakan-rakannya selamat dan beliau hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan peribadi seperti pasport, komputer riba dan beberapa helai pakaian.

Terhumban ke kolam

Sementara itu seorang ahli perniagaan bagaikan tidak percaya beliau terselamat walaupun hotel yang didiaminya runtuh menyebabkan beliau terhumban ke kolam renang semasa gempa bumi melanda kota Sumatera Barat ini dua hari lalu.

Wong Lee Kwong, 52, yang masih lesu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau dekat Padang, berkata beliau baru setengah jam mendaftar masuk ke Hotel Ambacang apabila gegaran berlaku.

"Saya bersiap-siap untuk mandi dengan hanya memakai tuala, secara tiba-tiba bangunan hotel bergegar dan senget ke kiri lalu runtuh menyebabkan saya terhumban ke dalam kolam renang," katanya yang ketika kejadian berada di tingkat empat hotel itu.

Menceritakan pengalaman cemasnya itu, Wong yang calar di belakang badan akibat ditimpa konkrit, berkata beliau keluar dari kolam renang itu dalam keadaan berbogel untuk menyelamatkan diri sebelum diselamatkan seorang pekerja hotel yang memberikannya pakaian.

sumatra earthquake02 Beliau berkata dalam keadaan kelam kabut dan riuh rendah dengan jeritan orang ramai, beliau dibawa petugas hotel ke kawasan lapang berdekatan hotel penginapannya.

"Nasib baik ada orang tolong kalau tidak saya tak tahu apa jadi pada saya," katanya yang bersyukur dibenar pulang ke Malaysia dengan penerbangan ehsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi tadi.

Satu keluarga yang sedang bercuti di daerah itu turut menceritakan detik-detik cemas semasa gempa berukuran 7.6 pada Skala Richter itu.

Badrulamin Mohd Sharif, 30, dari Kuala Lumpur berkata beliau dan enam orang anggota keluarga (dua anak perempuan, isteri, ibu mertua dan dua adik ipar perempuan) bercuti di daerah itu sejak Khamis minggu lalu.

"Ketika sedang membeli-belah di Kompleks Pasar Bukit Tinggi, secara tiba-tiba bangunan itu bergegar dan kelihatan orang ramai lari keluar dan menjerit gempa," katanya.

Cemas melihat kejadian itu, beliau membawa semua anggota keluarganya bergegas keluar dari kompleks itu dan melihat orang ramai berlari ke kawasan lapang kira-kira 100 meter dari kompleks terbabit.

"Alhamdulilah, semua ahli keluarga saya selamat dan tiada yang cedera, selepas dapat maklumat daripada pihak kedutaan Malaysia di sini, saya sekeluarga dibenar pulang bersama-sama pelajar Malaysia ke tanah air," katanya.

Badrulamin sekeluarga yang menaiki pesawat CN235 TUDM berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau bersama-sama pelajar Malaysia pada kira-kira pukul 6 pagi waktu Malaysia.- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS