Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) hari ini melahirkan rasa kesalnya dengan langkah kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.
Menurut Asasi, dasar "penginggerisan" sistem pendidikan negara bukanlah penyelesaian berhikmah kepada kemelut yang dihadapi pelajar Melayu yang rata-rata lemah di dalam bahasa berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh presiden Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi), Prof Dr Shaharir Mohamad Zain, dan Setiausaha Agungnya, Prof Dr Wan Ramli Wan Daud, mereka menyangkal hujah pemimpin Umno yang mengaitkan bahasa Inggeris dengan sains dan teknologi serta bahasa tersebut dengan kemajuan.
Sebaliknya, menurut mereka, penggunaan bahasa Melayu telah melahirkan ramai siswazah dalam bidang sains dan teknologi seawal tahun 1967 di Universiti Malaya.
"Ada para sarjana (yang beraliran bahasa Melayu) kini bertaraf dunia serta menerbitkan jurnal yang terkenal dan memenangi anugerah hadiah antarabangsa," menurut mereka lagi.
Sambil menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu juga telah melahirkan ramai doktor dan jurutera sehingga hampir memisahkan jurang tembok perkauman di negara ini, mereka berkata: "Hakikat bahawa bahasa membawa nilai yang mewarnai ilmu dan bahasa Melayu amat rapat dengan Islam, mungkin tidak begitu dihiraukan oleh pemimpin Umno kini.
"Hakikat terakhir ini menjadi tingkat tertinggi di dalam keprihatinan Asasi terhadap dasar-dasar kerajaan dalam pendidikan."
Mereka turut menyangkal hujah pemimpin Umno yang kononnya rakyat Malaysia akan dapat menguasai sains dan teknologi jika aliran bahasa Inggeris diwujudkan semula, dan menyifatkan kenyataan itu bertentangan dengan faktor sejarah.
Punca pengangguran
"Isu pengangguran siswazah aliran Melayu berpunca daripada pelbagai sebab yang jauh lebih kompleks daripada hanya kelemahan mereka berbahasa Inggeris.
"Punca utamanya ialah kejahatan majikan yang mahu mengekalkan budaya berbahasa Inggeris yang tidak berlaku dinegara-negara maju, kecuali di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.
"Faktor kedua adalah masalah perkauman ynag masih menebal, di mana majikan dari kaum tertentu cuma gemarkan graduan dari kaum sendiri.Oleh sebab taburan majikan mengikut kaum di negara ini masih jauh daripada seimbang, maka ia sudah tentu turut mempengaruhi ketidak-seimbangan pengangguran siswazah mengikut kaum," kata mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik cadangan bekas naib canselor Universiti Teknologi Malaysia, Tan Sri Ainuddin Wahid agar siswazah menganggur ditawarkan jawatan guru bahasa Inggeris.
Exco Pendidikan pertubuhan itu, Azwiralbukhairi Ab Aziz, berkata cadangan itu akan membantu menyelesaikan sekaligus masalah pengangguran graduan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
"Penggunaan kaedah pengajaran yang berkesan dan kualiti guru yang baik sepertimana di dalam persediaan pelajar ke Jepun dan Jerman, wajar dijadikan faktor dalam penguasaan bahasa asing tanpa meminggirkan bahasa Melayu," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata 94 peratus siswazah menganggur terdiri dari kaum Melayu, kerana kecenderungan mereka menjurusi bidang sastera dan agama.
Beliau juga mencadangkan agar sekolah aliran bahasa Inggeris diperkenalkan semula untuk membolehkan rakyat menguasi ilmu berkaitan dengan sains dan teknologi. Perdana menteri turut mendakwa bahawa kegagalan menguasai bahasa tersebut turut menjadi punca pengangguran.
