Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas tentera diseru tukar status pengundi biasa
Diterbitkan:  Oct 7, 2009 3:04 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Semua anggota tentera yang tamat perkhidmatan dinasihatkan menukar status daripada pengundi pos kepada pengundi biasa.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata ramai daripada bekas anggota tentera didapati tidak mendaftar sebagai pengundi biasa selepas mereka tamat perkhidmatan.

"Adalah suatu yang merugikan jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi biasa kerana mengundi adalah tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad juga meminta semua bekas tentera yang layak mengundi di Bagan Pinang supaya datang mengundi pada pilihan raya kecil di situ pada Ahad ini.

"Peluang ini tidak harus dilepaskan begitu saja dalam menentukan wakil rakyat mereka," katanya.

Muhammad juga menyeru semua bekas tentera supaya menyertai PBTM bagi membela nasib mereka.

"Banyak peluang disediakan oleh kerajaan kepada bekas tentera melalui PBTM, Perhebat, Jabatan Hal Ehwal Veteran, Yayasan Warisan Perajurit dan sebagainya.

"Mereka bagaimanapun didapati tidak mengambil peluang ini.

"Jika sekiranya mereka bermasalah, beritahu pada kita dan kita sedia untuk membantu sebaik mungkin," katanya. BERNAMA