Malaysiakini BERITA

Ura-ura Pakatan ingin tangguh p'raya

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pakatan Rakyat mungkin memohon perintah mahkamah untuk menangguhkan pilihan raya kecil Bagan Pinang sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat membersihkan daftar pemilih DUN tersebut, yang didakwanya membolehkan pemilih pos memangkah lebih daripada sekali.

Pengarah pilihan raya PAS bagi Bagan Pinang, Salahuddin Ayub dalam sidang media di Port Dickson hari ini berkata, satu delegasi Pakatan akan bertemu pengerusi SPR di Putrajaya petang ini bagi mendapat penjelasan dan meminta daftar pemilih pos dibersihkan.

"Petang ini kita akan membuat perhitungan dengan SPR bagi membersihkan nama-nama pengundi yang bertindih yang akan digunakan pada 11 Oktober ini," kata Salahuddin lagi.

Katanya lagi, pertemuan antara delegasi Pakatan Rakyat, yang diketuai setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dan pengarah pilihan raya PAS Datuk Halim Abdul Rahman dengan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan turut menuntut supaya suruhanjaya berkenaan membersihkan status pengundi pos di seluruh negara.

Menjawab soalan wartawan, Salahuddin menolak pandangan bahawa isu melibatkan nama pemilih pos berulang itu hanya dibangkitkan dalam pilihan raya kecil kali ini.

Jelasnya, isu berkenaan telah lama dibangkitkan oleh Pakatan dan menjadi sebahagian daripada tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - yang menganjurkan demonstrasi besar di Kuala Lumpur pada 2007.

"Kita dah sebut berkali-kali tentang nama pengundi yang bertindih ini dan SPR tidak dapat menjalankan pemutihan dengan sepenuhnya," katanya.

Jelasnya lagi, jumlah sebenar pemilih pos yang terlibat juga akan dapat diketahui petang ini selepas pertemuan dengan SPR.

"Setakat ini saya boleh katakan terdapat beratus-ratus (pertindihan) nama (pengundi pos yang terlibat di Bagan Pinang).

"Sekiranya petang ini SPR tidak dapat melakukan sesuatu ke arah pembersihan ini, kita tidak menolak kemungkinan akan menggunakan kaedah perundangan," kata Salahuddin.

"Mungkin esok atau lusa, pasukan peguam kita akan memohon perintah mahkamah supaya pilihan raya ini dapat ditangguhkan sehingga pembersihan nama itu benar-benar dapat dibuat oleh pihak SPR."

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan Bernama hari ini mengutip kenyataan presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abdul Ghani, yang kesal dengan sikap sesetengah bekas anggota tentera yang tidak menukar status mereka daripada pemilih pos kepada pemilih biasa setelah tamat perkhidmatan.

Mengulas kenyataan tersebut, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata, pengakuan Muhammad itu menunjukkan masih ada anggota tentera yang sudah bersara tetapi masih tetap tersenarai dalam daftar pemilih pos di Bagan Pinang.

"Adalah tidak wajar bagi seorang pesara tentera masih mempunyai nama dalam senarai pemilih pos. Sepatutnya orang yang sudah bersara dikeluarkan daripada senarai pemilih pos.

"Isunya, adakah mereka akan balik mengundi atau ada orang yang akan mengundi bagi pihak mereka, sedangkan mereka berada di Ulu Kelantan pada masa ini, sudah bersara," katanya lagi.