Tangguh Ops Warta II hingga kes selesai: Karpal

comments     Arfaeza A Aziz     Published     Updated

Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini menyeru pihak polis supaya menangguhkan Ops Warta II sehingga selesai kes samannya terhadap pihak polis trafik.

Beliau yang juga seorang peguam, berkata operasi itu tidak patut dimulakan kerana mahkamah belum lagi membuat keputusan tentang kesahihan undang-undang terhadap dua notis saman yang dikemukakan kepadanya oleh pihak polis.

"Kes saya adalan satu kes contoh yang boleh mempengaruhi banyak kes saman trafik yang lain. Pihak polis akan mengambil risiko yang tinggi jika operasi ini diteruskan. Operasi itu mungkin diisytiharkan tidak sah jika saya berjaya dalam kes saman itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Pada 7 Mei lalu, Karpal telah memfailkan satu saman terhadap Ketua Polis Trafik Ahmad Bahrin Idrus dan kerajaan pusat kerana mengeluarkan dua notis kesalahan trafik kepadanya untuk satu kesalahan sama memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Karpal memohon pengisytiharan mahkamah bahawa tindakan polis mengeluarkan notis terhadapnya sebagai tidak sah. Kes itu akan didengarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mei ini.

Dalam kenyataan itu, Karpal juga menasihatkan pihak polis supaya jangan berprasangka bahawa beliau tidak boleh berjaya dalam kes samannya itu.

Beliau juga mengingatkan polis bahawa kenyataan Peguam Negara Datuk Abdul Gani Patail yang menyokong tindakan polis dalam mengendali saman-saman trafik, bukanlan keputusan yang muktamad.

"Hanya mahkamah sahaja yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara ini," kata Karpal.

Beliau juga berkata operasi besar-besaran adalah tidak sesuai dalam hal ini kerana ianya hanyalah membabitkan kesalahan kecil trafik.

Adalah tidak patut bagi rakyat untuk diperlakukan dengan kasar oleh pihak polis kerana kes-kes yang kecil ini yang kini turut menjadi sumber pendapatan kerajaan, katanya lagi.

Tidak munasabah

Dalam satu kenyataan akhbar yang lain, setiausaha biro publisiti kebangsaan DAP Gobind Singh Deo yang juga anak Karpal turut menggesa supaya Ops Warta II ditangguhkan kerana ianya satu tindakan yang tidak munasabah.

Gobind berkata ramai pengguna jalanraya mahu membayar saman mereka tetapi gagal berbuat demikian kerana kesesakan dan kekurangan kaunter-kaunter bayaran di balai polis.

"Pihak polis juga patut disalahkan kerana mereka tidak menyediakan kaunter bayaran yang mencukupi untuk membolehkan semua orang menjelaskan saman mereka pada masa yang ditetapkan," katanya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In