MT Umno akan bincang penangguhan pemilihan parti: Najib

comments     Published     Updated

Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengambil kira pandangan majoriti anggota Umno berkenaan cadangan penangguhan pemilihan MT tahun depan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata

Menurut Bernama beliau berkata jika berdasarkan pandangan pelbagai pihak pada masa ini, pemilihan parti itu dilihat wajar ditangguhkan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pilihanraya umum akan datang.

"Kita tunggulah perkara ini dibincangkan pada mesyuarat MT akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2 di Pahang hari ini.

"Kita belum buat apa-apa keputusan secara rasmi dalam MT, MT adalah badan berkuasa untuk buat keputusan dalam hal ini.

"Namun demikian berdasarkan kenyataan akhbar dan pandangan banyak pihak, ramai yang cenderung agar pemilihan Umno tidak diadakan selagi pilihan raya belum selesai," katanya.

Elak perebutan

Najib berkata pada masa ini adalah penting tumpuan parti diarahkan kepada usaha menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang, daripada pemilihan parti itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini dilaporkan membayangkan kemungkinan pemilihan MT Umno tahun depan ditangguhkan sehingga pilihanraya umum akan datang.

Difahamkan cadangan penangguhan pemilihan MT itu bertujuan mengelak berlakunya persaingan hebat bagi mengisi jawatan penting parti yang biasanya menjadi faktor utama pemilihan calon-calon Umno bagi bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Mengenai persediaan Umno untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata; "Persediaan kita dah hampir tiga tahun... kita akan membuat persedian seperti biasa, tarikh pilihan raya bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri."

"Kalau berdasarkan pengalaman, kita pernah menangguhkan pemilihan MT sehingga selepas diadakan pilihan raya umum," kata Najib.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In