Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kala Malaysiakini dilahirkan...
Diterbitkan:  Oct 14, 2009 11:19 AM
Dikemaskini: 11:44 AM

NONE

Ianya bermula pada November 1998 - dua bulan selepas pemecatan dan penangkapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media arus perdana hanya menyiarkan pandangan yang menyokong kerajaan dalam krisis kepimpinan yang melanda Malaysia itu.

"Keperluan kepada berita yang bebas, amat jelas sekali. Ketika menjamu selera di sebuah restoran mamak di Petaling Jaya, timbul cadangan untuk mewujudkan sebuah akhbar bawah tanah," kata pengasas bersamanya, Premesh Chandran, bekas wartawan akhbar The Sun yang ketika itu bertugas dengan Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).

NONE "Bagaimanapun, satu lagi cadangan yang dianggap lebih sesuai dikemukakan - mewujudkan sebuah lamanweb berita," tambahnya.

Idea awalnya ialah untuk mengumpulkan tidak lebih daripada empat orang untuk menerbitkan tiga hingga lima berita sehari. Lamanweb itu akan dibiayai menerusi sumbangan dan melalui pendapat daripada perniagaan sampingan warung siber.

Premesh kemudiannya menulis kertas konsep dan mengedarkannya kepada individu-individu yang berminat. Kertas kerja itu bertajuk 'The Daily Diet - It's free, fast and true."

Akhirnya enam individu mengumpul RM30,000 untuk membeli sebuah warung kafe di SS2, Petaling Jaya - untuk dijadikan pusat operasi lamanweb berkenaan.

Nama Malaysiakini merupakan pilihan muktamad untuk lamanweb tersebut, dengan cogan kata - 'Only the news that matters'.

Nama Malaysiakini.com didaftar pada bulan April 1999. Bagaimanapun, pada bulan Julai, warung kafe itu mengalami kerugian dan terpaksa dijual.

NONE "Ketika itu, projek tersebut nampaknya tidak menuju ke mana-mana. Tetapi kemudiannya, kami berjaya menyakinkan Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) - sebuah gabungan pertubuhan wartawan di rantau ini yang beribupejabat di Bangkok - untuk memberi geran AS$100,000," kata seorang lagi pengasas bersamanya, Steven Gan yang ketika itu bertugas dengan akhbar The Nation di Thailand.

Malaysiakini membuka pejabatnya pada 1 Oktober di tingkat empat sebuah rumah kedai dekat Jaya Supermarket (yang kini telah roboh) di Seksyen 14, Petaling Jaya. Gan pulang dari Bangkok sehari sebelumnya, dan mula bertugas di pejabat tersebut.

"Tiada banyak masa yang kami ada. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan dengan memanggil pilihan raya umum mengejut. Pada masa itu, ramai yang menjangka pilihan raya itu akan diadakan pada tahun 2000," kata Gan.

azlan "Berikutan itu, diputuskan untuk melancarkan Malaysiakini lebih awal dengan membuat laporan langsung mengenai hari penamaan calon pada 20 November 1999."

Malaysiakini versi 1.0 diselenggarakan oleh pereka web berusia 19 tahun, Sarah Shazreena Sharin.

Tinggal lima hari sebelum pelancarannya, tiga wartawan sulung Malaysiakini - Ng Boon Hooi, Hidayatul Ein Azmi dan Ajinder Kaur - melaporkan diri bersama dengan beberapa orang sukarelawan.

Dan Malaysiakini muncul membuat laporan langsung pada hari penamaan calon bagi pilihanraya umum 1999.

Dan itulah saat kami dilahirkan...

ADS