BERITA Malaysiakini

Satu lagi EGM untuk atasi krisis MCA

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Presiden MCA hari ini mengumumkan satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menentukan sama ada perlu atau tidak pemilihan parti diadakan sekali lagi bagi keluar daripada krisis kepemimpinan parti.

Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Agungnya Datuk Wong Foon Meng mengadakan EGM seperti peruntukan Perkara 30.1 perlembagaan MCA.

Menulis di blognya selepas mesyuarat petang ini, beliau berkata EGM dipanggil kerana anggota jawatankuasa pusat tidak bersedia mengadakan pemilihan agung parti semula - selepas ia diadakan setahun lalu.

Beliau juga menyifatkan tindakan disiplin terhadap pencabar utamanya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai "usaha kolektif" dan oleh itu harus ditanggung bersama, bukan beliau seorang sahaja.

Dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu selama tiga jam mulai 2 petang di Kuala Lumpur, MCA juga mengumumkan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kini naib presiden, dilantik sebagai timbalan presiden - jawatan yang dikosongkan akibat pengguguran Dr Chua.

Pada 10 Oktober lalu, parti itu mengadakan EGM untuk meluluskan lima usul susulan penggantungan Dr Chua daripada parti itu dan sekali gus melucutkan jawatannya sebagai pemimpin nombor dua.

EGM itu bagaimanapun menimbulkan krisis baru apabila hampir 2,400 perwakilan MCA menimbulkan isu undi tidak percaya terhadap Ong dan sekali gus menolak usul agar Dr Chua dikembalikan kepada jawatan lamanya itu.

Dr Chua bagaimanapun dibenarkan menyertai kembali parti tersebut.

Mesyuarat jawatankuasa pusat itu dibuat hari ini bagi membincangkan kedudukan pemimpin atasan MCA susulan keputusan EGM Sabtu lalu.

Ia diadakan di tengah-tengah spekulasi bahawa Ong akan dipaksa meletakkan jawatan atau memanggil semula satu lagi pemilihan agung parti untuk menyelesaikan krisis parti tersebut.

[Baca berita penuh]