Azmin nafi adanya rundingan untuk bebaskan Anwar

comments     Published     Updated

terjemahan

Naib Presiden Keadilan Azmin Ali hari ini menafikan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung pembebasannya dari penjara.

Beliau juga menafikan laporan tabloid Buletin Utama , yang menyiarkan laporan muka edisi terbarunya dengan tajuk 'Syarat bebas Anwar Bersara Politik'.

"Ianya tidak benar. Saya memberitahu wartawan yang menemui saya untuk laporan tersebut bahawa ianya tidak betul. Tetapi ianya (penafiannya) tidak dilaporkan," kata Azmin kepada malaysiakini .

Laporan itu memetik Azmin sebagai berkata beliau menyedari mengenai rundingan itu, tetapi tidak tahu butirannya, dan partinya sedang mengikuti perkembangan itu sama ada usaha membebaskan Anwar akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, Azmin berkata beliau hanya menyebut yang dia menyedari mengenai khabar angin mengenai rundingan tersebut. Dia juga tidak menolak kemungkinan Umno bertanggungjawab menyebarkan khabar angin tersebut.

Propaganda Umno

"Saya telah disalahpetik oleh tabloid berkenaan, dan ia adalah merupakan propaganda Umno bagi mengurangkan keresahan dalam Umno dan masyarakat Melayu.

"Mereka sedang berusaha mengurangkan keresahan itu yang timbul berikutan pemecatan Anwar. Pemimpin kanan Umno sedang berusaha untuk menggunakan pegawai kanan kerajaan dan menteri Kabinet untuk memecahbelahkan Keadilan dan PAS," katanya lagi.

Sementara, ketika dihubungi hari ini, isteri Anwar, yang juga Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menafikan wujudnya rundingan mengenai pembebasan Anwar dari penjara.

Buletin Utama memetik satu sumber yang mendakwa Dr Mahathir bersetuju dengan perundingan itu, dengan syarat Anwar bersara dari politik selepas pembebasannya.

Khabar angin mengenainya mendapat perhatian umum selepas majalah Far Eastern Economic Review keluaran 24 Jan lalu, melaporkan yang kedua-duanya telah mengadakan pertemuan sulit di dalam kereta di Lebuhraya Karak, dekat Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebabkan Dr Mahathir bersetuju "berdamai" dengan Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah di atas kesalahan rasuah dan liwat. Bagaimanapun, Anwar dan Dr Mahathir menafikan laporan itu.

Rayuan kes rasuah

Anwar yang merupakan bakal pengganti Dr Mahathir sebelum disingkirkan dari kerajaan dan Umno selepas didakwa terbabit dalam salahlaku seks pada tahun 1998, kemudiannya didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah dan liwat.

Anwar dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara, tetapi beliau tetap menegaskan dirinya telah menjadi mangsa kepada konspirasi untuk menjatuhkannya.

Beliau kini sedang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap rayuan kes rasuahnya, manakala pihak mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan berhubung kes liwatnya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In