Most Read
Most Commented
Read more like this

Hukuman penjara dan denda ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kerana berkahwin tanpa kebenaran Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIK), tidak langsung menjejaskan kredibiliti Pas, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Dr Lo' Lo' Ghazali.

Sebaliknya, kata beliau, kesalahan Abdul Rahim itu, bukan sahaja remeh tetapi juga lebih bersifat peribadi.

"Ianya masalah peribadi Cikgu Rahim. Tiada kaitan dengan kredibiliti parti. Lagipun bukannya serius...dia tidak ditangkap berkhalwat atau melakukan perkara sumbang yang lain. Cuma dia bersalah kerana berkahwin tanpa kebenaran jabatan Islam negeri," kata Dr Lo' Lo' kepada malaysiakini .

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat bahawa hukuman dan kesalahan itu telah menjejaskan kredibiliti Abdul Rahim sebagai seorang pemimpin PAS dan Adun Tanjung Mas.

Beliau juga berkata perkahwinan Abdul Rahim di Kemboja dengan seorang wanita rakyat negara itu hanya melanggar undang-undang JHEIK, tetapi masih sah di sisi undang-undang Islam.

"Perkara ini terlalu kecil untuk dibesar-besarkan dan saya rasa ianya tidak sesuai untuk dijadikan berita muka depan," katanya.

Ketelusan Kerajaan PAS

Menurut laporan di muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, Wan Abdul Rahim telah dihukum tiga hari penjara dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Syarikah Kota Bharu atas kesalahan mengahwini seorang wanita rakyat Kemboja di negara itu tanpa kebenaran JHEIK.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Noridah Mohd Salleh berkata hukuman ke atas Abdul Rahim menunjukkan ketelusan kerajaan negeri dalam pengendalian hal-hal pendakwaan dan hukuman mahkamah, yang melibatkan orang atasan parti Pas.

Katanya, walaupun Abdul Rahim adalah seorang speaker Dewan Undangan, beliau juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

"Secara peribadi saya tidak begitu gemar atas apa yang berlaku. Tetapi ini adalah kesalahan yang biasa berlaku dan tidak perlu dibesar-besarkan," katanya.

Dalam isu yang berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam menyokong hukuman penjara dan denda ke atas Abdul Rahim dan menyeru Mahkamah Syariah supaya lebih tegas dalam menangani kesalahan seumpama itu pada masa yang akan datang.

"Hukuman penjara bagi kesalahan ini amat kurang dilaksanakan dan denda yang dikenakan amat sedikit dan mampu dibayar. Ia tidak menjadi penghalang bagi suami yang mahu berkahwin lagi kerana setelah denda dibayar, perkahwinan poligami tersebut boleh didaftarkan dan dianggap sah," katanya dalam surat kepada pengarang.

Menurut SIS, perkara itu perlu mendapat perhatian mahkamah kerana terdapat banyak aduan bahawa ramai suami yang sebenarnya tidak mampu untuk berpoligami, tetapi telah mengambil jalan mudah dengan berkahwin di sempadan negara.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS