Berita Malaysiakini

PAS S'gor diseret ke JK disiplin

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 2.42am Khamis Mesyuarat khas barisan pemimpin atasan PAS yang berlarutan lebih empat jam sehingga selepas tengah malam ini memutuskan untuk membawa PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu.

"Isu Selangor kita serah pada jawatankuasa disiplin yang dipengerusinya oleh (naib presiden) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menyiasat sejauh mana kebenarannya tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

hadi awang pc 060609 02 Mesyuarat yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa pusat PAS dan barisan pesuruhjaya negeri juga memutuskan untuk mengadakan seminar politik bulan depan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar yang dirancang itu, dengan melibatkan perwakilan setiap peringkat kepemimpinan parti, bagi menggantikan idea muktamar khas - yang asalnya disarankan oleh menteri besar itu di blognya, Khamis lalu - yang diputuskan tidak perlu diadakan.

"Satu seminar politik akan diadakan pada 7 November ini yang dihadiri perwakilan daripada seluruh negara bagi membincangkan isu yang berkaitan dan isu-isu lain bagi memperkasakan PAS.

"EGM (muktamar khas) tidak ada. Kita bersetuju EGM tidak ada," kata Abdul Hadi lagi.

Dua keputusan penting itu diumumkan dalam sidang media ringkas di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur selepas mesyuarat berakhir kira-kira jam 1 pagi ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali - yang turut menjadi sasaran kemarahan Nik Aziz - sebelum ini dan seorang lagi Naib Presidennya Salahuddin Ayub turut hadir di sisi Abdul Hadi.

Kira-kira 60 wartawan dan jurugambar setia menungggu mesyuarat khas itu sehingga sidang media itu tamat.

Abdul Hadi turut menegaskan kembali kenyataan sebelumnya bahawa PAS akan beriltizam untuk mengeratkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan menutup pintu kepada rundingan dengan Umno.

"Setelah kita berbincang dengan sepanjang-panjangnya dan menerima pandangan semua pihak, kita bersetuju, PAS akan memainkan peranan lebih aktif bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat.

"Isu kerajaan perpaduan ditutup dan kita tetap bersama Pakatan," tegasnya.

Mesyuarat malam ini dipanggil bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" yang dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz di Blog Tok Guru minggu lalu.

azlan Beliau pada asalnya mendesak muktamar khas untuk membincangkan gelagat beberapa pemimpin yang didakwanya masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan seperti Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Mesyuarat itu bermula jam 8.45 malam ini walaupun Nik Abdul Aziz hanya menghadiri mesyuarat tersebut sehingga jam 11 malam. Semua tiga tokoh utama yang dipertikai oleh beliau turut hadir.

Selain kenyataan Abdul Hadi di sidang media itu, butiran mesyuarat dan kehangatan perbincangannya belum dapat dipastikan. Ramai pemimpin PAS yang ditemui selepas mesyuarat itu enggan mengulas lanjut.