Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Adun Umno dakwa hukum Hudud Terengganu perlu pindaan besar

Kerajaan PAS Terengganu kini terpaksa mencari pelbagai alasan untuk melewatkan pembentangan hukum Hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana lebih 50 peratus kandungannya terpaksa dipinda semula, kata Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN), Rosol Wahid.

Katanya, ini termasukkan langkah kerajaan negeri itu menganjurkan seminar yang dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk daripada parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kerajaan PAS Terengganu memerlukan masa yang agak panjang untuk menyiapkan semua pindaan sebelum membentangkan Rang Undang-undang Hudud di Dewan Undangan Negeri," kata beliau kepada malaysiakini hari ini.

Rosol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Ajil, berkata beliau sendiri menghadiri seminar itu dan turut sama memberi pandangan mengenai Rang Undang-undang Hudud yang menurutnya memerlukan banyak pindaan.

Ditanya sama ada beliau mewakili Umno dalam menghadiri seminar itu, Rosol berkata kerajaan negeri tidak menghantar sebarang jemputan kepada Umno.

Sewaktu berucap menggulung perbahasan di Muktamar PAS di Kota Bharu hujung minggu lalu, Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang memberitahu para perwakilan bahawa Umno turut dijemput menghadiri seminar tersebut.

"Jemputan itu dihantar kepada Adun Umno, tetapi saya sendiri tidak dapat. Bagaimanapun, saya bersama seorang lagi Adun Seberang Takir, Datuk Rashid Ngah menghadiri seminar itu," kata Rosol.

Pilihan kepada bukan Islam

Menurutnya, perkara yang dibangkit oleh para peserta seminar berkenaan tidak hanya mengenai Seksyen 9 yang berkaitan dengan wanita, khususnya mangsa rogol, tetapi juga bahagian penting lain dalam Rang Undang-undang berkenaan.

Misalnya, kata beliau, Rang Undang-undang Hudud itu hanya mahu dikuatkuasakan ke atas umat Islam sahaja, tetapi mengikut hukum Syariah, ia sepatutnya meliputi bukan Islam yang tinggal dan mematuhi undang-undang negara ini.

Sedangkan, katanya, Rang Undang-undang Hudud yang digubal oleh Kerajaan PAS memberi pilihan kepada bukan Islam, sama ada mahu dibicara dan dihukum menurut Hudud ataupun Undang-undang Sivil.

Selain itu, menurut Rosol, Rang Undang-undang Hudud itu juga turut menggabungkan Akta Penjara yang menetapkan hukuman sebat hanya bagi pesalah lelaki yang berusia di antara 18 dan 50 tahun, manakala pesalah wanita dikecualikan.

Menurutnya, ini juga bercanggah dengan kaedah hukuman menurut Islam yang tidak menghadkan umur dan jantina selagi mereka sudah akil baligh.

"Begitu juga peruntukan yang tidak jelas berkaitan dengan saksi. Sekiranya seorang Islam mencuri di kedai milik Cina, apakah empat orang Cina boleh menjadi saksi?" tambahnya.

Oleh itu, Rosol berpendapat, kerajaan negeri perlu membuat pindaan yang intensif jika ia mengambil kira semua teguran dan pandangan daripada para peserta seminar berkenaan," katanya.

ADS