Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
NGO Melayu minta kerajaan tangguh pelaksanaan kuota 10 peratus

Kerajaan diminta menangguhkan keputusannya untuk membenarkan kemasukan 10 peratus pelajar bukan Melayu ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan mengikuti program Matrikulasi sehingga satu kajian terperinci mengenainya dibuat.

Permintaan itu dibuat oleh 26 badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Melayu serta beberapa wakil pelajar institusi pengajian tinggi dalam satu pertemuan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Kolej Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim, penangguhan itu perlu bagi membolehkan satu konvensyen diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengkaji dengan terperinci kedudukan pelajar secara keseluruhan di negara ini.

Katanya, konvensyen bertajuk "Dialog Pendidikan Negara: Isu dan Cabaran Kepada Pelajar Melayu" itu diadakan bagi mengumpul data dan maklumbalas daripada ahli akademik, sosial dan invidu tertentu sebelum mengemukan saranan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Ia juga bertujuan mendapatkan suatu keputusan yang rasional dan cukup justifikasinya, dan bukannya berasaskan sentimen atau emosi, tanpa melihat kepada fakta dan hujah yang kukuh," kata Suhaimi selepas mempengerusikan pertemuan hampir tiga jam itu.

Antara NGO Melayu yang hadir dalam pertemuan hari ini ialah Pertubuhan Pelajar Lepasan MRSM (Ansara), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Intelek Melayu dan Kelab Askar Melayu Diraja.

Katanya, NGO dan pertubuhan terbabit yakin bahawa maklumat yang akan dikumpulkan itu, akan membuktikan pelajar Melayu perlu diberi keutamaan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Melahirkan profesional Melayu

"Kami tidak sesekali menafikan hak pelajar bukan bumiputra, tetapi mahu menekankan bahawa sistem kuota yang dinikmati bumiputra adalah peluang mereka mendapatkan pelajaran bagi mencapai matlamat kerajaan melahirkan ramai professional (bumiputera)," katanya.

Menurut Suhaimi sistem kuota yang diamalkan sekarang juga bertujuan untuk mengimbangi representasi kaum yang memperolehi pendidikan tinggi di Malaysia.

Oleh itu, katanya, pembukaan 10 peratus kemasukan bukan bumiputra ke MRSM akan menjejaskan peluang bagi pelajar bumiputra sendiri.

"Buat masa ini pun, pelajar bumiputra di luar bandar terpaksa bersaing hebat untuk mendapatkan tempat (di MRSM) walaupun memenuhi syarat pencapaian 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)," ujar Suhaimi.

Buat masa ini, kira-kira 20,000 pelajar ditempatkan di MRSM di seluruh negara, yang majoritinya pelajar luar bandar dari keluarga kurang berada, dan pemberian kuota 10 peratus, akan mengurangkan 2,000 tempat pelajar bumiputra.

"Apakah akan terjadi kepada golongan ini kerana mereka tidak mendapat tempat di sekolah berasrama penuh? Lainlah jika ada kekosongan yang tidak dapat diisikan oleh pelajar bumiputra," tegas Suhaimi.

Ditanya sama ada pemberian kuota tersebut menunjukkan kerajaan terpaksa akur dengan tekanan kaum bukan Melayu memandang pilihanraya umum sudah hampir, Suhaimi menjawab, isu pendidikan tidak ada kena mengena dengan agenda politik.

Sekolah Wawasan

"Sebaliknya, kami sedang memperkatakan tentang keperluan bangsa Melayu untuk membolehkan mereka terus berdaya saing," ujarnya.

Mengenai pandangan perdana menteri mengenai integrasi kaum melalui pembukaan program Matrikulasi dan MRSM, Suhaimi berkata, kemasukan dengan bilangan yang kecil tidak akan memberi apa-apa kesan kepada integrasi kaum.

Sebaliknya, beliau mencabar pemimpin bukan Melayu untuk menerima idea Sekolah Wawasan dan bukannnya terus memperjuangkan sekolah rendah aliran Cina dan Tamil jika integrasi kaum merupakan alasan kepada pembukaan program Matrikulasi dan MRSM kepada bukan bumiputra.

"Bagaimanakah integrasi kaum akan wujud melalui sistem pendidikan di negara ini sekiranya kanak-kanak yang berlainan bangsa memasuki sekolah rendah yang berlainan aliran, malahan dari peringkat taman didikan (tadika) lagi," katanya.

"Jika bangsa Melayu sanggup mengorbankan nama `Sekolah Melayu' kepada `Sekolah Kebangsaan', mengapakah pemimpin kaum Cina dan India masih terus mahu mempertahankan nama Sekolah (Rendah Jenis Kebangsaan) Cina dan Tamil? Dimanakah keikhlasan mereka di dalam soal ini?.

"(Oleh itu,) pemimpin bukan Melayu mesti `bercakap serupa bikin'," tegasnya.

Pendidikan di negara ini, kata beliau, mungkin tidak menjadi isu jika semua kaum sanggup menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang sama aliran bermula dari kecil lagi.

Suhaimi juga berpendapat prasangka antara kaum mungkin reda sekiranya anak-anak pelbagai kaum belajar di sekolah yang sama aliran, iaitu Sekolah Wawasan, walaupun ini mungkin mengambil masa selama satu generasi lagi untuk direalisasikan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS