Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Malaysia (Ansara) hari ini menafi menyokong pendirian meminta kerajaan menangguhkan pembukaan kuota 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputra di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Naib Presiden Ansara, Harun Aminulrashid, mengakui hadir dalam majlis pertemuan lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kolej Islam Antarabangsa semalam, tetapi mendakwa "soal penangguhan" itu sebenarnya tidak diusulkan. Majlis adalah anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS).
Pendirian Ansara itu tidak mengejutkan kerana pertubuhan itu diterajui Mukhriz Mahathir yang juga anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Ansara yang mempunyai lebih 4,000 ahli itu juga dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Jumaat lalu Dr Mahathir telah mengumumkan bahawa pengambilan sebanyak 10 peratus pelajar bukan bumiputra di MRSM akan dimulakan mulai tahun depan dengan harapan ia akan mengkuatkan perhubungan antara kaum.
Sebaliknya, kata Harun, perbincangan semalam lebih menjurus kepada isu-isu pendidikan bangsa Melayu secara am, yang mana Ansara juga turut prihatin.
"Ansara berpendirian bahawa keputusan kerajaan mengenai peruntukan kuota 10 peratus kepada bukan bumiputra di MRSM sebenarnya tidak bercanggah dengan dasar sedia ada, dan tidak akan menjejaskan kepentingan pendidikan bangsa Melayu," kata Harun.
Peranan khusus
Beliau berkata, MRSM mempunyai peranan yang khusus dalam melahirkan pelajar cemerlang dan berdaya saing.
"Kejayaan cemerlang yang dicapai oleh pelajar MRSM sedikit sebanyak adalah hasil dari dasar pembukaanya kepada bukan bumiputra yang diamalkan sejak tertubuhnya MRSM," kata Harun.
"Di samping itu juga, peruntukan untuk kemasukan bukan bumiputra ke MRSM tidak akan mengurangkan tempat untuk pelajar Melayu, seperti yang dimaklumkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara)," hujah Harun lagi.
Malaysiakini difahamkan bahawa jumlah pengambilan bukan Melayu setakat ini adalah amat kecil, dan tidak melebihi dua peratus di setiap MRSM.
Menurut beliau, Ansara juga berpendirian bahawa dasar pembukaan MRSM kepada bukan bumiputra ini adalah merupakan "isu pendidikan".
"Langkah (pembukaan kepada bukan bumiputra ) tersebut adalah antara faktor utama dalam membentuk pelajar serba boleh," tambahnya lagi.
Konvensyen kedudukan pelajar
Dalam sidang akhbar selepas pertemuan hampir tiga jam semalam, presiden GPMS Datuk Suhaimi Ibrahim berkata penangguhan itu perlu bagi membolehkan satu konvensyen diadakan bagi mengkaji dengan terperinci kedudukan pelajar secara keseluruhan di negara ini.
Katanya, konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 15 Jun ini untuk mengumpul data dan maklumbalas daripada ahli akademik, sosial dan invidu tertentu sebelum mengemukan saranan kepada Perdana Menteri.
Kata Suhaimi, ia juga bertujuan mendapatkan suatu keputusan yang rasional dan cukup justifikasinya, dan bukannya berasaskan sentimen atau emosi, tanpa melihat kepada fakta dan hujah yang kukuh.
Sehubungan itu, Suhaimi menekankan pembukaan 10 peratus kemasukan bukan bumiputra ke MRSM akan menjejaskan peluang pelajar bumiputra terutama dari luar bandar yang terpaksa bersaing mendapatkan tempat (di MRSM) walaupun memenuhi syarat pencapaian 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Minggu lepas, perdana menteri berkata adalah wajar MRSM dibuka kepada bukan bumiputera kerana lepasannya mempunyai masalah untuk bergaul dengan golongan bukan bumiputra kerana tidak ada pendedahan awal.
Selain itu, Kabinet dalam mesyuaratnya Rabu lalu turut memutuskan pembukaan kuota 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera bagi mengikuti program Matrikulasi.
