BERITA

Permohonan didengar panel 11 hakim ditolak

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Nov 2009, 9:01 pagi

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin supaya rayuannya berhubungi kes menteri besar yang sah, didengar oleh panel 11 orang hakim.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya.

NONE Keputusan tersebut menimbulkan tandatanya kerana mahkamah tertinggi di negara ini itu sebelum ini pernah membenarkan panel tujuh hakim mendengar dua kes dadah.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Nizar, sebelum itu berhujah bahawa panel 11 hakim itu penting kerana kes itu membabitkan kepentingan awam dan banyak implikasinya.

Katanya, ia juga memberi kesan pada semua negeri dan serta Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, katanya, seluruh dunia sedang mengikuti kes tersebut, termasuk para akademik dan orang awam "kerana ini adalah satu kes yang unik".

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang membantu menterjemah perlembagaan Perak dan perlembagaan Persekutuan, berkata permohonan tersebut tidak seharusnya dibuat melalui usul.

Sebaliknya, kata beliau, ia seharusnya dibuat melalui semakan kehakiman.

Dalam hujahnya, Ambiga juga memetik dari buku 'May Day for Justice' tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas mengenai krisis Umno pada 1987.

Petikan itu antara lain berbunyi "nampaknya satu cara untuk mengikis keraguan, terutamanya dalam mendengar kes yang berbaur politik ialah dengan menyemak kes (Umno) di hadapan panel penuh hakim".

Salleh menulis bahawa dengan kehadiran semua hakim, maka ia boleh mengikis sebarang tanggapan berlaku berat sebelah di pihaknya.

Dengan itu, tiada pihak yang boleh berkata beliau memilih hakim atau memilih panel hakim, tulis Salleh mengenai perlunya panel penuh hakim mendengar kes Umno pada 1988.

Bagaimanapun, sebelum idea itu dapat dilaksanakan, Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri ketika itu), telah menggantikannya.

Keputusan rayuan Nizar, akan menentukan masa depan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang ditumbangkan Februari lalu selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).Ia juga bukan sahaja akan menentukan menteri besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.

NONE Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.