BERITA Malaysiakini

Wee: Suara perwakilan tidak dihormati

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menyifatkan keputusan tidak memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA sebagai tidak menghormati suara perwakilan parti itu.

Katanya, beliau sedih dan terkilan dengan keputusan yang diumumkan Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng, semalam.

"Apa juga tuntutan dan rayuan (untuk mengadakan EGM) sepatutnya dilayan dengan adil.

"Soal resolusi tidak bertepatan dengan perlembagaan parti, semua pihak ada tafsiran yang berlainan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata tujuan memanggil EGM itu bukan untuk mengekalkan jawatan sesiapa atau melindungi mana-mana pihak.

Sebaliknya, kata beliau, ia untuk memberi peluang kepada perwakilan memilih barisan kepimpinan yang baru.

"Sepatutnya beri peluang untuk perwakilan pilih pemimpin berlandaskan pemerhatian mereka.

"Inilah cara terbaik untuk selesaikan kekusutan dan kemelut yang dihadapi MCA sekarang," katanya.

Permintaan untuk mengadakan EGM diajukan oleh 16 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) minggu lalu bagi memberikan laluan pemilihan baru parti tersebut.

Bagaimanapun cadangan ditolak kerana ditakrif tidak bertepatan dengan berperlembagaan parti dan tidak dapat dijalankan mengikut pandangan ketua undang-undang baru parti itu Lim Hong San.- Bernama