BERITA

AJK masjid pertahan tindakan jemput Dr Xavier berucap

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Nov 2009, 3:51 petang

Seorang ahli jawatankuasa Masjid Taman Sri Andalas mempertahankan tindakan menjemput exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar berucap di satu majlis berbuka puasa di situ, Ogos lalu.

Mohamad Tarmizi Ismail berkata, setakat ini tidak ada arahan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melarang masjid-masjid di negeri itu dimasuki oleh orang bukan Islam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk mengambil tindakan terhadap jawatankuasa majlis itu kerana membenarkan Dr Xavier, yang juga ADUN PKR bagi Seri Andalas, berucap di dewan utama masjid itu.

Kehadiran Dr Xavier di masjid tersebut dibantah oleh pergerakan Pemuda Umno Kota Raja yang menghantar memorandum kepada Jais memintanya menyiasat tindakan jawatankuasa masjid itu.

"Setakat ini tidak ada apa-apa arahan kepada masjid yang melarang orang bukan Islam daripada memasuki masjid," tegas Mohamad Tarmizi.

"Sepatutnya Jais keluarkanlah arahan rasmi (dahulu) supaya jelas kepada seluruh umat Islam di Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa masjid berkenaan akan bermesyuarat malam ini berhubung bantahan Pemuda Umno tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan pengarah Jais itu bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita Islam yang didatangi haid, Mohamad Tarmizi menjawab:

"Itu saya tidak boleh jawablah, sebab saya bukan mufti.

Reaksi Dr Xavier

"Tapi kalau kita sekat orang bukan Islam datang ke masjid, macam mana kita nak sampaikan dakwah kepada mereka?

"Tapi Masjid Negara dan Masjid Putrajaya pun boleh dikunjungi oleh orang bukan Islam.

"Masjid-masjid ini sediakan jubah untuk wanita bukan Islam supaya mereka menutup aurat ketika masuk masjid," tambahnya.

Menurut Mohamad Tarmizi lagi, Masjid Taman Sri Andalas bagaimanapun tidak mempunyai prasarana sebegitu untuk kemudahan wanita bukan Islam menutup aurat.

Jelasnya lagi, Dr Xavier sekadar memberi ucapan aluan di majlis berbuka puasa tersebut yang dihadiri kira-kira 300 orang jemaah.

"Beliau cuma berucap alu-aluan saja, bukannya ceramah atau apa. Berucap pun sekejap saja sebab pada masa itu sudah dekat hendak berbuka sangat," kata ahli jawatankuasa itu.

Tambahnya, selain Dr Xavier, turut berucap di majlis itu ahli parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian hari ini memetik Dr Xavier sebagai menafikan dakwaan di laman blog yang beliau memberikan ceramah di masjid tersebut.

Beliau dilaporkan ke masjid tersebut bagi memenuhi undangan majlis berbuka puasa bersama penduduk kawasan terbabit memandang exco kesihatan dan hal-ehwal bukan Islam itu seorang ADUN di situ.

Dr Xavier mengakui memasuki masjid tersebut tetapi hanya memberi ucapan alu-aluan di majlis tersebut yang disifatkannya sebagai aktiviti bersama rakyat yang sentiasa beliau penuhi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.