mk-logo
Berita
Najib: Pengundi mungkin tolak MCA jika krisis berlarutan
Diterbitkan:  Nov 8, 2009 6:49 AM
Dikemaskini: 1:12 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman MCA, kecuali beliau menerima jemputan yang jelas dari parti itu untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa MCA seharusnya menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin bagi memastikan ia muncul sebagai sebuah parti yang kukuh dan bersatu.

Menjawab satu soalan, beliau berkata 'pelan perpaduan lebih menyeluruh' yang sedang diusahakan dalam parti itu, dicetuskan oleh kepimpinan MCA sendiri bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Ia bukan pelan saya, tapi ditampilkan oleh kepimpinan MCA sendiri. Mereka ada memaklumkan kepada saya mengenainya, dan saya beritahu mereka bahawa apa yang paling penting adalah saya mahukan sebuah parti MCA yang kukuh dan bersatu. Kemudian baru MCA boleh mewakili majoriti komuniti Cina," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kongres Tahunan Parti Demokratik Liberal di 1Borneo di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata MCA tidak punyai pilihan, mereka perlu menangani masalah dalaman dengan segera kerana sekiranya ia tidak diselesaikan dalam tempoh masa tertentu, ada kemungkinan calon-calon MCA ditolak orang ramai pada pilihan raya akan datang.

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno berkata sudah tiba masanya bagi MCA meminta Najib, yang juga pengerusi BN, untuk masuk campur dan cuba menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu.

MCA mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 10 Oktober lepas dalam usaha menyelesaikan krisis kepimpinan yang dihadapinya, namun hasilnya dilihat masih belum dapat merungkai masalah yang melanda parti itu.

Ini ekoran kumpulan yang mendakwa mewakili 16 orang atau satu pertima anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA memanggil EGM baru pada 28 November ini untuk membolehkan perwakilan memutuskan sama ada pemilihan baru MCA perlu diadakan. - Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini