Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini mempersoalkan perlunya peruntukan kuota 10 peratus kemasukan bukan bumiputra ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang selama ini mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Presiden PKPIM, Mohd Zaidi Aziz, berkata kesemua 15 buah MRSM telah terbukti melahirkan pelajar yang cemerlang, dengan 98.7 peratus daripada 3,785 calonnya mendapat pangkat satu dalam peperiksaan SPM.
"Oleh itu, soal daya saing (dengan memasukan bukan Melayu) tidak timbul kerana sememangnya MRSM merupakan antara 12 sekolah terbaik pencapaian akademiknya di peringkat SPM dan berjaya mengeluarkan pelajar bumiputra yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Atas alasan itu, katanya, maka wajarlah kerajaan mengkaji semula keputusannya untuk memperuntukkan 10 peratus kemasukan ke MRSM kepada bukan bumiputra.
"Asas penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mencetuskan kewujudan penubuhan MRSM dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) adalah atas dasar memelihara hak-hak bumiputera seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan.
"Oleh yang demikian, sejajar dengan langkah kerajaan mengekalkan status eksklusif bumiputra kepada UiTM , MRSM juga wajar dipertahankan sebagai satu-satunya saluran yang unggul memelihara kepentingan bumiputera," kata Mohd Zaidi.
Beliau menambah bahawa jika kerajaan berhasrat untuk memperkukuhkan integrasi nasional di Malaysia, penumpuan perlulah diberikan kepada perkara yang lebih kritikal iaitu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan bukannya pada peringkat Matrikulasi atau MRSM.
Permohonan GCC
Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedia mempertimbangkan permohonan Kumpulan Rakyat Prihatin (GCC) untuk duduk bersama membincangkan isu-isu pendidikan bagi semua kaum.
Bagaimanapun, kata Setiausaha Agung GPMS, Syed Azhar Syed Mohamad, pihaknya akan menimbangkan perkara itu selepas diadakan dialog "Dialog Pendidikan Negara: Isu dan Cabaran Kepada Pelajar Melayu" antara badan bukan kerajaan (NGO) Melayu pada Jun 15 ini.
"Saya tidak nampak kenapa ia tidak boleh dilakukan demi kebaikan semua, tetapi biarlah difikirkan selepas dialog berkenaan kerana orang Melayu sendiri pun kini menghadapi cabaran pendidikan yang sungguh getir," katanya kepada malaysiakini .
Menurutnya, GPMS mengalu-alukan keprihatinan GCC yang mewakili lebih 40 NGO kaum India untuk mencari penyelesaian menyeluruh bagi semua kaum berkaitan kemelut pendidikan yang kini hangat diperkatakan.
"Tumpuan kami dalam pertemuan 15 Jun (di Universiti Kebangsaan Malaysia) ialah untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi pelajar Melayu yang menghadapi berbagai tekanan yang sungguh hebat.
"Oleh itu, saya rasa ada baiknya jika wakil kaum India turut mengadakan perbincangan mengenai permasalahan kaum tersebut, supaya kesimpulannya boleh diutarakan kepada pihak berkenaan," kata Syed Anuar.
Katanya, beliau telah dihubungi oleh penyelaras GCC, Charles Santiago berhubung perkara itu. Semalam, GCC menyarankan supaya kaum lain juga mengambil bahagian di dalam dialog pada 15 Jun ini, kerana menurutnya terdapat banyak persamaan mengenai masalah pendidikan, terutamanya di antara pelajar kaum Melayu dan India.
Antara lain, GCC berpendapat bahawa pendidikan tinggi merupakan satu-satunya jalan bagi kaum Melayu dan India, terutamanya di luar bandar, untuk meningkat taraf kehidupan.
