Tiada cadangan guna ISA ke atas Kit Siang, kata Zainal

comments     Published     Updated

Kerajaan tidak bercadang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengerusi DAP Lim Kit Siang yang mengedar risalah hasutan mengenai kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin hari ini.

Bernama melaporkan Zainal sebagai berkata undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani isu itu dan polis akan bertindak mengikut saluran sedia ada.

Katanya, ISA hanya akan digunakan jika risalah itu menjejaskan keamanan dan membangkitkan perasaan tidak puas hati rakyat yang boleh menjurus ke arah rusuhan kaum.

"Polis tahu isi kandungan risalah yang diedarkan dan akan mengambil tindakan sewajarnya. ISA hanya akan digunakan selepas semua nasihat dan kerjasama yang kita minta untuk mengawal keadaan tidak diendahkan," katanya selepas merasmikan sistem pembayaran elektronik Touch'n Go di Bukit Merah Laketown Resort di Perak..

Lim ditahan di Ipoh tiga hari lalu atas atas tuduhan mengedar risalah berunsur hasutan yang ada kaitan dengan pengumuman Malaysia sebagai negara Islam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada September tahun lepas.

Akta hasutan

Polis menahan Lim di bawah Akta Hasutan 1948 semasa beliau mengedarkan risalah bersempena dengan pelancaran kempen ""Kata Tidak Kepada 929" oleh DAP di Ipoh.

Bagaimanapun, Lim telah dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 selepas kira-kira tiga jam. Beliau juga diminta untuk melaporkan diri ke mahkamah majistret Ipoh pada Julai 5.

Zainal berkata isu yang ditimbulkan oleh DAP itu bukanlah baru dan telahpun dibangkitkan di Parlimen tetapi tidak mendapat sokongan majoriti rakyat.

Ia lebih berbentuk gimik politik dan diadakan kerana parti itu sudah kehabisan modal.

"Sepatutnya DAP tunggu sehingga pilihanraya umum akan datang dan lihat sama ada pengumuman negara Islam ini diterima oleh rakyat atau tidak," tambahnya.

Zainal berkata, walaupun Malaysia sebuah negara Islam, kebebasan beragama di benarkan di bawah Perlembagaan dan tidak ada sebarang perubahan yang dilakukan sejak merdeka atau sejak pengumuman itu dibuat.

Beliau berharap DAP tidak menukar isu itu menjadi isu perkauman yang boleh menjejaskan kestabilan negara.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In