Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Pelaksanaan hukum Hudud sesuai dengan pengisytiharan PM

Tiga belas badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), menyokong sepenuhnya pelaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) di semua negeri, sesuai dengan pengisytiharan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Selaras dengan itu, mereka menyokong usaha Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperkemaskan draf rang undang-undang Jenayah Syariah tersebut, dengan mendapat pandangan pelbagai pihak serta menganjurkan seminar yang berkaitan dengannya.

Selain Abim, turut menandatangan kenyataan bersama itu ialah Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Jamaah Islah Malaysia, Persatuan Ulama Kedah, Abim, Teras, Pengarah Iman International, Persatuan Graduan Syariah dan Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia.

Menurut mereka, isu perlaksanaan hukum hudud di negara ini memerlukan pertimbangan wajar, objektif, jujur dan tanpa prangsangka semua pihak.

"Ia perlu dinilai berdasarkan semangat dan tujuan murni agar kewajipan dan tanggungjawab melaksanakan hukum Islam yang diredai Allah menjadi realiti.

"Kami berpendapat sebarang usaha oleh mana-mana pihak ke arah perlaksanaan hukum syariat, hendaklah dinilai dari perspektif yang objektif dan menyeluruh berdasarkan tujuan asas Syariat Islam, iaitu untuk memelihara agama, nyawa, akal, nasab dan harta," tambah kenyataan itu.

Oleh itu, kata mereka, hukum hudud tidak wajar dilihat secara berasingan serta terpisah-pisah di antara satu bahagian dengan satu bahagian yang lain di dalam perundangan Islam.

Sehubungan itu, kata mereka, semua individu dan organisasi perlu meneliti secara terperinci usaha kerajaan Terengganu merangka draf rang undang-undang jenayah syariah (Hudud dan Qisas).

Perlu tingkatkan penerangan

Sementara itu, Presiden PUM, Abdul Ghani Shamsudin, ketika dihubungi menjelaskan sokongan itu dibuat sesuai dengan kenyataan Dr Mahathir itu yang dianggapnya membawa kesan yang positif ke arah melaksanakan hukum syariah Islam di negera ini.

"Kerana beliau (Dr Mahathir) telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam maka kita mengisytiharkan menyokong draf undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang dirangka oleh Kerajaan Terengganu.

"Kita menyokong draf undang-undang itu sebagai membina pengisytiharan Dr Mahathir yang merupakan sesuatu yang positif untuk masa depan negara," kata Abdul Ghani.

Sementara itu, Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman ketika dihubungi berkata Abim menyokong semangat pelaksanaan Hudud tetapi banyak lagi perkara yang berkaitan dengannya yang perlu diperbaiki.

"Hudud adalah sebahagian kecil daripada syariah. Yang lainnya termasuk bidang perbankan yang kini sudahpun diterima oleh semua pihak, termasuk bukan Islam. Masalah sekarang ialah soal kefahaman, orang masih keliru apakah yang dikatakan syariah dan apa yang dikatakan hudud.

"Penerangan mengenainya perlu dibuat sepertimana ketika memperkenalkan sistem perbankan Islam dahulu. Ianya dibuat secara jelas dan bertahap, manakala kakitangannya diberi latihan bersungguh-sungguh sehingga orang Cina pun boleh menerimanya. Malah mereka mendalami pengetahuan mengenainya kerana berminat," katanya.

Kata Azam, sistem perbankan Islam yang juga sebahagian daripada syariah Islam, dapat diterima masyarakat kerana proses penerangan dan kefahaman mengenainya dibuat secara sistematik dan mendalam.

Oleh itu, katanya, gerakan yang sama perlu dilakukan untuk memperkenalkan hudud dan ini memerlukan penglibatan ramai pakar dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang.

ADS