Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti, ulama tetap perlu tauliah
Diterbitkan:  Nov 12, 2009 5:39 PM
Dikemaskini: Nov 13, 2009 2:37 AM

Para ulama dan mufti perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terlebih dahulu sebelum dibenar menyampaikan ceramah agama ataupun khutbah di negeri ini walaupun mereka menerima pengecualian tauliahnya.

Pengarah Jias, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata pengecualian tauliah kepada mereka yang ingin mengadakan ceramah atau khutbah di Selangor hanya diberikan kepada golongan tertentu antaranya ulama, mufti negeri, jawatankuasa fatwa, hakim mahkamah atau pendaftar mahkamah syariah serta menteri atau exco yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal agama Islam.

"Memang ada pengecualian syarat tauliah diberikan kepada individu tertentu tetapi untuk menyampaikan khutbah atau ceramah di Selangor, mereka yang dikecualikan juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Jais, bukannya boleh terus buat begitu saja.

"Bagi penceramah bebas, mereka tidak tertakluk kepada pengecualian ini dan perlu mendapatkan tauliah daripada Jais," katanya ketika ditemui pemberita pada persidangan DUN Selangor di Shah Alam hari ini.

Muhammed Khusrin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai wujud atau tidak pengecualian tauliah daripada Jais kepada individu tertentu yang ingin mengadakan ceramah, kuliah atau khutbah agama di negeri ini.

Katanya, semua pihak termasuk mufti ataupun ulama perlu mendapatkan permohonan daripada Jais dan memaklumkan apakah ceramah atau ilmu yang mahu disampaikan kepada para jemaah.

"Saya tidak nampak masalah dengan prosedur ini. Contohnya, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah buat permohonan kepada Jais untuk menyampaikan ceramah di Selangor sebelum ini.

"Dengan bahasa mudahnya, jika seseorang nak masuk ke rumah orang lain, dia perlu beri salam dahulu, perlu ada adab, hormat

kepada tuan rumah, bukan main masuk saja," katanya.

Muhammed Khusrin berkata beliau tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana peraturan itu memang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003. BERNAMA

ADS