Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Azmin nafi dakwaan miliki saham RM9 juta

S Pathmawathy

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan keluarganya menjadi sasaran tuduhan pelbagai pihak sejak tahun 1998, katanya yang juga naib presiden PKR hari ini, merujuk kepada dakwaan terbaru bahawa beliau dan isterinya memiliki saham bernilai jutaan ringgit.

pkr pc 100408 azmin Tuduhan terbaru itu dibuat oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF) SA Vigneswaran yang mendakwa Azmin dan isterinya, Shamshida Taharin memiliki saham berjumlah lebih RM9 juta pada awal 1990-an.

Azmin berkata, dakwaan terhadap dirinya dan isterinya itu adalah tidak benar.

Vigneswaran, dalam satu sidang akhbar semalam, menggesa Azmin menjelaskan sama ada beliau telah membeli saham tersebut pada awal 1990-an ketika menjadi setiausaha sulit kepada menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas ketua pemuda MIC itu turut mendedahkan satu set dokumen yang mendakwa Azmin telah membeli saham bernilai lebih RM800,000 manakala isterinya pula didakwa membeli saham bernilai sekurang-kurangnya RM8.5 juta.

"Saya belum melihat dokumen yang didakwa oleh Vigneswaran tetapi saya percaya dokumen itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkan dengan saya dan isteri saya.

"Semenjak tahun 1998, saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga.

"Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya," katanya.

Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata, malahan, alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahannya pada 16 September 1998 sehingga 22 September 1998.

"Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami," katanya.

Vigneswaran memberitahu pemberita semalam, bahawa sebuah sampul surat mengandungi dokumen-dokumen serta dakwaan resit pembelian saham oleh pasangan tersebut,telah dihantar ke rumahnya di Klang pada jam 3 pagi Khamis lalu.

Katanya, orang yang meletakkan dokumen tersebut di pondok pengawal tetapi tidak meninggalkan nama atau maklumat untuk dihubungi.

Satu daripada dokumen tersebut mengandungi butiran terperinci mengenai wang yang didepositkan ke dalam apa yang dipercayai akaun Azmin di Bank Islam dan akaun Shamsida di Malaysia French Bank Berhad.

Terdapat juga apendik yang menyenaraikan butiran saham yang didakwa milik Shamsida dalam pelbagai syarikat.

Menurut salah satu dokumen tersebut, Azmin telah membeli melalui Bank Islam saham bernilai RM812,925 manakala saham isterinya Shamshida berjumlah RM8,496,492 melalui Malaysia French Bank Berhad.

Vigneswaran berkata selepas meneliti dokumen-dokumen tersebut, beliau mendapati sejumlah besar wang telah dipindahkan ke dalam akaun-akaun mereka dan pada masa itu Azmin bertugas sebagai setiausaha sulit Anwar.

Katanya, memandangkan Azmin kini merupakan seorang personaliti awam, naib presiden PKR dan seorang ahli Parlimen, maka Azmin perlu menjelaskan pembelian dan transaksi tersebut.

Walaupun Vigneswaran mengakui bahawa dokumen-dokumen tersebut mungkin palsu, tetapi beliau menggesa Azmin untuk menyatakan secara terbuka sama ada ianya tulen atau palsu.

Menurutnya, belaiu telah menulis kepada Azmin untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemilikan saham dan wang yang dipindahkan ke dalam akaun mereka.

Katanya, beliau hanya mahu Azmin menjelaskan sama ada dokumen-dokumen tersebut betul atau palsu.

"Kemudian saya akan memutuskan tindakan selanjutnya," kata Vigneswaran.

Sambil menyuarakan kekesalannya terhadap apa yang disifatkannya sebagai 'serangan fitnah itu', Azmin berkata:

"Saya merasa kesal kerana apa yang berlaku hari ini menunjukkan Barisan Nasional tidak akan berhenti dari melancarkan serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteraman saya dan keluarga. Saya melihat tindakan jijik yang terancang ini adalah untuk mengaibkan dan mencemarkan nama saya dan isteri."

Azmin menambah bahawa kenyataan berunsurkan fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasinya sebagai ahl parlimen Gombak serta naib presiden PKR.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vigneswaran. Saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk bertindak segera prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan dan melaporkan kenyataan fitnah tersebut," katanya.