Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kejayaan gerakan reformasi politik di Indonesia yang bermula sejak 1998 turut dipengaruhi sumbangan sasterawannya yang terlibat dalam pelbagai aktivisme politik, termasuk berdemonstrasi, kata tokoh sasterawan republik itu.

"Mereka berdemonstrasi, mereka menulis esei tentang reformasi. Sasterawan di dalam negara mempunyai peranan berganda.

"Tidak hanya (dengan) kata-kata, tetapi apa yang harus dibuat," kata Seno Gumira Ajidarma.

"Mereka harus turut berperanan menghadapi masalah bangsanya. Maka tiada orang yang menjadi sasterawan saja, tetapi juga (menjadi) wartawan, aktivis dan ahli politik.

"Jadi tidak ada orang yang hanya menjadi sasterawan demi (keindahan ) kata-kata."

NONE Diundang khas untuk berpidato di Kuala Lumpur minggu lalu, Seno, 51, mengulas peranan sasterawan di Indonesia menumbangkan regim Soeharto - yang dikritik banyak pihak dari dalam dan luar republik itu - kira-kira 11 tahun lalu.

Gelombang politik seumpamanya turut melanda Malaysia apabila timbalan perdana menteri ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak seperti di republik itu, gerakan politik yang mengambil inspirasi gerakan menumbangkan Soeharto bagaimanapun gagal apabila Anwar sendiri dipenjara sehingga penghujung 2004.

Seno berkata, walaupun terdapat sasterawan generasi lama yang masih merasa trauma dengan kekejaman pemerintahan pada masa itu, termasuk dibunuh, tetapi masih terdapat generasi penulis baru di republik itu yang bebas daripada belenggu psikologi itu.

Beliau bagaimanapun mengecualikan seniman tersohor WS Rendra dan penyair Wiji Thukul yang memainkan peranan besar membakar semangar rakyat untuk bangkit menuntut perubahan pada tahun-tahun awal menjelang Jun 1998 apabila Soeharto digulingkan di tengah-tengah krisis kewangan memuncak.

Beliau, yang mengajar di Universiti Indonesia dan Institut Kesenian Jakarta, menyampaikan ucapan 'Estetika dan Substansi Sastera Indonesia setelah Reformasi' di Festival Hak Asasi Manusia (FaHAM) yang julung-julung kali diadakan di ibu kota.

Dalam pidato ringkas kira-kira 30 minit itu, penulis kolum itu antaranya mempertikaikan aliran pandangan yang percaya bahawa hanya terdapat satu format sastera, atau hanya satu sastera yang paling sahih.

Kesan negatif daripada tanggapan itu, menurut Seno yang aktif mengkritik filem dan berfotografi, menyebabkan perbicaraan berhubung makna sesuatu karya dilupakan.

Selain pidato itu, Seno turut menghadiri beberapa lagi siri diskusi - termasuk 'Malaysia-Indonesia Damai Melalui Penulisan' yang menumpukan isu politik terkini antara dua negara itu berhubung "pencurian" artifak budaya.

Sasterawan yang menghasilkan puluhan kumpulan cerpen, esei dan komik itu pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij, terbaru Anugerah Sastera Khatulistiwa.

Karya terbarunya Nagabumi I: Jurus Tanpa Bentuk setebal 828 muka surat diterbitkan bulan ini dan akan dilancarkan di Jakarta tidak lama lagi.

ADS