Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu MB S'gor seleweng muncul lagi
Diterbitkan:  Nov 16, 2009 4:47 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Hampir setahun isu menteri besar Selangor didakwa menyeleweng tenggelam, tiba-tiba ia muncul lagi melalui penafian NGO yang menyeret Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gerak Malaysia, yang mendakwa pemimpin PKR itu menyalahgunakan kuasa berhubung penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu, hari ini menafikan ia menerima maklumat tersebut daripada pemimpin PAS di negeri itu.

"Tuduhan-tuduhan ini sengaja digembar-gemburkan bagi merosakkan reputasi Gerak Malaysia selaku badan bebas yang bertindak secara neutral dan adil dalam melaporkan apa-apa juga isu dakwaan salah guna kuasa dan rasuah," kata pengerusi NGO itu Mohd Nazree Mohd Yunus hari ini.

"Gerak tetap berpegang pada prinsip integriti dan bergerak bebas tanpa ada kecenderungan untuk berpartisan dalam mana-mana juga isu yang melibatkan integriti dan anti korupsi.

"Gerak menyeru agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan rambang dan tidak berasas seumpama ini."

Beliau menafikan dakwaan di Internet baru-baru ini yang menyebut Gerak Malaysia, dengan kerjasama seorang pemimpin PAS Selangor, terlibat dalam pakatan menjatuhkan Abdul Khalid demi menaikkan exco hal-ehwal Islam negeri Datuk Dr Hasan Ali, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Dakwaan itu masing-masing di blog Umno Reform 2 dan Air Mata Selangor awal bulan lalu dan bulan ini.

Dengan dakwaan tersebut, kedua-dua blog itu seterusnya mencabar Mohd Nazree menafikan beliau pernah menerima maklumat daripada Roslan Shahir Mohd Shahir, ketua penerangan PAS negeri dan mantan setiausaha akhbar presiden PAS.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan Roslan Shahir hari ini gagal.

Dalam aduannya kepada SPRM, Gerak mendakwa Abdul Khalid menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di parlimen Bandar Tun Razak - yang dimenangi Abdul Khalid - ketika Hari Raya Korban pada Disember tahun lalu.

Mohd Nazree juga mendakwa menteri besar itu membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Menafikan dakwaan tersebut, pada Mac lalu, Abdul Khalid kemudian mengambil tindakan undang-undang terhadap Gerak Malaysia.

ADS