Andai kata pilihan raya kecil parlimen Telok Kemang bertukar menjadi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Lukut pada 10 Jun lalu, kerusi tersebut sudah pasti jatuh ke tangan parti pembangkang. Pastinya DAP sudah mempunyai seorang wakil di DUN Negeri Sembilan.
Keputusan pilihan raya kecil itu baru-baru ini menunjukkan calon Parti KeADILan Nasional (Keadilan), Ruslan Kasim mendapat undi majoriti dalam peti-peti di DUN Lukut. Ruslan mendapat majoriti 297 undi, mengatasi calon Barisan Nasional, S. Sothinathan.
Lukut merupakan kawasan yang mempunyai majoriti kaum Cina. Sebahagian besar daripada mereka menternak khinzir, malah kawasan utama industri itu di negara ini. Dalam pilihan raya umum 1999, calon parti itu bagi kawasan parlimen yang sama, N. Gopalankrishnan, kalah di peti undi Lukut sebanyak 285 undi.
Begitu juga kalaulah negara ini mempunyai wakil rakyat khas untuk mereka yang mengundi melalui pos, Ruslan pastinya telah muncul sebagai wakil rakyat, atau "wakil pos," yang pertama dari kalangan parti pembangkang.
Majorirti pengundi pos - seramai 5005 orang tentera yang berpangkalan di Port Dickson - memberi undi mereka kepada calon KeADILan. Ruslan mendapat 1,743 undi berbanding calon BN yang mendapat 1,625 atau majoriti 118 undi.
Walaupun Ruslan mendapat lebihan undi di Lukut dan undi pos tetapi beliau tewas di empat DUN lain dalam parlimen Telok Kemang. Kawasan-kawasan DUN Linggi, Pasir Panjang, Chembong dan Sirusa itu didominasi oleh pengundi Melayu dan kubu tradisi Umno.
Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Samad sendiri adalah wakil rakyat Linggi. Dalam pilihan raya umum November lalu, calon-calon BN di keempat-empat DUN itu menang dengan purata majoriti 2500 undi.
Walau BN menang empat DUN tersebut, namun jumlah majoriti menurun. Butir-butir terperinci jumlah undi di kawasan-kawasan tersebut belum diperolehi. Bagaimanapun jumlah undi calon BN merosot sebanyak 3,970 undi, berbanding keputusan pilihan raya umum.
Pilihan raya kecil ini terus menunjukkan juga bahawa orang Melayu dan Cina yang menolak BN (atau Umno dan MCA) semakin bertambah. Trend ini mengejutkan ramai pemimpin kerajaan kerana mereka telah bertungkus lumus menaburkan beratus-ratus juta ringgit di kawasan ini.
Pelbagai projek seperti pembinaan masjid, jalan baru, jalan tar, bangunan sekolah baru, infrastruktur di ladang-ladang, pampasan lumayan untuk penternak khinzir dan juga tapak kawasan ternakan yang baru telah diberi dan dijanjikan. Di samping itu hampir semua topdog BN berkampung di Telok Kemang untuk mendekati pengundi.
Tidak cukup dengan itu, serangan media massa terhadap parti pembangkang juga cukup hebat. Pucuk kepimpinan KeADILan menjadi sasaran utama. Setiap hari disiarkan cerita ramai ahli dan pemimpin parti itu menyertai Umno.
Namun hasilnya masih mengecewakan, BN menang tetapi dengan kemerosotan ketara jumlah undi majoriti.
Senario ini bukan sahaja mengecewakan malahan membimbangkan BN. Kalau dalam pilihan raya umum 1999, hanya pengundi Melayu bersedia menolak BN, khususnya Umno, tetapi kali ini pengundi Cina pula melakukannya.
Pengundi Cina menyatakan protes terhadap sikap acuh tidak acuh kerajaan terhadap nasib mereka setelah dilanda wabak JE.
Penduduk Cina di Lukut mengunakan kuasa undi mereka untuk mengajar BN, terutamanya MCA, supaya bersikap lebih prihatin dan serius.
Tindakan pengundi ini menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpin pati Cina hinggakan wakil rakyatnya di Lukut, Datuk Dr. Yeow Chai Thiam, menuduh mereka sebagai tidak tahu membalas jasa setelah kerajaan berhempas pulas membantu menyelesaikan masalah mereka.
Dr. Yeow berkata, kerajaan telah membayar penuh RM120 seekor untuk khinzir-khinzir yang ditembak mati semasa operasi pengawalan JE di Bukit Pelanduk. Menurut beliau, para pengundi di Lukut sepatutnya berpuas hati dan membalas budi kerajaan.
Nampaknya amalan mengungkit "jasa" yang ada pada Umno sebelum ini berjangkit kepada MCA. Kini tiba giliran MCA mengungkit-ungkit jasa-jasanya!
Pemimpin MCA menyalahkan DAP kerana membesar-besarkan isu JE sehingga pengundi terkeliru dan tertipu. Nampaknya MCA terlupa bahawa pengundi Lukut sendiri, tanpa hasutan pihak luar, sudah lama rasa terbiar.
Tragedi JE yang meragut lebih 100 nyawa itu sudah setahun berlalu, namun para penternak masih belum mendapat pampasan - dan pembelaan - yang dijanjikan.
Bantuan yang sepatutnya diterima dari Tabung Bantuan Mangsa JE yang diancarkan oleh MCA tidak sampai kepada mangsa-mangsa berkenaan. Khabarnya lebih RM20 juta dapat dikutip daripada derma orang ramai tetapi ke mana perginya wang tersebut?
Hanya apabila calon BN S. A. Anpalagan meninggal dunia, setelah itu fail JE dibuka semula. Jika tidak, mungkin isu ini akan terus dilupakan.
Banyak faktor yang tidak dilihat oleh MCA apabila mengungkit "jasa" mereka di Bukit Pelanduk. Orang politik kerajaan nampaknya masih menganggap rakyat dungu. Pemimpin politik masih berkhayal dengan kepercayaan lama - politik wang dan rasuah pembangunan.
Mereka masih menganggap rakyat akan mengundi calon kerajaan bila jutaan wang dan pelbagai janji manis ditabur.
Nampaknya pengundi di Telok Kemang khususnya pengundi Melayu dan Cina telah berpegang pada amanat Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, "kalau diberi wang belanjakan, kalau diberi kain, pakai; diberi gula, makan tapi bila mengundi, pangkah bulan (PAS). "
Di Telok Kemang, mereka memangkah mata lebam!
