Calon peperiksaan SPM Tan Hui Lin yang cedera parah pada bahagian badan dan mata akibat di simbah asid oleh bapanya menangguhkan menduduki peperiksaan itu ke satu tarikh lain.
Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang Ibrahim Ahmad berkata tempoh penangguhan itu bergantung kepada keputusan doktor.
"Buat masa ini beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu peperiksaan itu dan menunggu keputusan doktor berhubung keadaan kesihatannya," katanya kepada Bernama di Pulau Pinang.
Hui Lin, 17, cedera parah pada bahagian depan badan dan mata selepas diserang dan disimbah asid oleh bapanya Tan Teik Siew pada 24 Okt lepas.
Teik Siew, 53 seorang pegawai perlesenan Majlis Perbadanan Pulau Pinang (MPPP) telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya Cheong Swee Lin, 50, dan mencederakan Hui Lin.
Sejumlah 465,853 calon mengambil peperiksaan SPM yang bermula pada Rabu lepas hingga 16 Dis ini.
Daripada jumlah pelajar SPM, calon kementerian seramai 406,420 orang, calon persendirian (32,561), calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera (7,071), sekolah agama negeri (8,765) manakala sekolah agama rakyat dan sekolah swasta 11,036 orang. BERNAMA
