Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang dilihat "keletihan" dalam mengharungi politik dalaman PAS negeri itu, menjadi punca tercetusnya spekulasi beliau mahu meletak jawatan dalam parti dan kerajaan, kata seorang pemimpin PAS negeri itu.

"Sampai satu masa, dia pun letih, banyak masalah, banyak tanggungjawab yang dipegangnya. Saya dengar sudah dua tahun dulu lagi perkara ini sudah disebut," kata anggota jawatankuasa PAS negeri yang enggan dikenali.

pas muktamar nasharuddin win post 060609 husam pc 01 Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar media arus perdana kelmarin mengenai spekulasi Husam yang juga pengerusi jawatankuasa perancangan ekonomi, kewangan dan kebajikan negeri mahu meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri.

Husam yang juga ADUN Salor itu bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai agenda untuk 'mematikan karier politiknya' yang belum berakhir sejak muktamar PAS Jun lalu, selepas beliau tewas dalam pertandingan kerusi timbalan presiden.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, anggota jawatankuasa PAS Kelantan itu berkata, desas-desus Husam ‘sudah keletihan' akibat politik parti, sudah lama kedengaran tetapi ia telah dinasihatkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya ‘bertahan'..

"Tok Guru (Nik Aziz) kata, kalau hendak kata letih, dia lagi letih, dia lagi banyak tanggungjawab," kata pemimpin tersebut.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut maksud ‘keletihan' tersebut, beliau berkata: "Bukan letih lawan dengan Umno. Lawan dengan Umno tidak ada masalah. Yang letih ni sok-sek (bisik-membisik - merujuk kepada politik dalaman) sesama sendiri.".

Tambahnya, Husam menjadi sasaran kerana bekas naib presiden PAS itu agak menonjol di Kelantan berbanding pemimpin lain PAS di negeri itu.

Sementara itu, setiausaha PAS Kelantan, Mohamad Zaki Ibrahim pula ketika dihubungi berpendapat, serangan terhadap Husam didalangi musuh politiknya, Umno.

"Biasalah, mereka hendak serang Tok Guru tidak dapat. Jadi, mereka seranglah orang yang dilihat rapat dengannya," katanya yang juga ADUN Kelaboran.

"Datuk Husam ni kalau kita lihat macam perisai (kepada Nik Aziz dan PAS Kelantan)," tambahnya.

Bagaimanapun, Mohamad Zaki menolak terdapat sabotaj dalaman yang mahu menghancurkan karier politik Husam.

ADS