Most Read
Most Commented
Read more like this

Pemuda Umno mengecam tindakan DAP mempersoalkan pencapaian cemerlang pelajar Melayu sehingga lebih ramai berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tahun ini, sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu.

Malah, pergerakan itu menganggap tindakan DAP itu berunsurkan perkauman yang boleh menjejaskan hubungan kaum di negara ini.

"Pemimpin DAP adalah antara yang paling lantang mempersoalkan prestasi akademik anak-anak Melayu," kata ketua pergerakan itu, Datuk Hishamuddin Tun Hussein dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Pemuda Umno di PWTC hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa melalui pelaksanaan sistem merit, seramai 22,557 atau 65 peratus pelajar bumiputra layak memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini.

Sehubungan itu, Hishamudin menggesa kerajaan supaya tidak melengahkan lagi pelaksanaan sekolah wawasan ke arah meningkatkan usaha meningkatkan perpaduan nasional di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, pergerakan itu juga menyokong keputusan kerajaan untuk membuka 10 peratus kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara dan Matrikulasi kepada pelajar bukan Melayu.

Syarat kemasukan

Bagaimanapun, beliau berkata, pergerakan pemuda mencadangkan supaya pelajar bukan Melayu yang dipilih memasuki MRSM hendaklah dari kalangan mereka yang belajar di sekolah rendah kebangsaan.

Ucapan Hishamuddin itu turut diikuti oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad yang hadir sebagai wakil Majlis Tertinggi Umno di perhimpunan agung pemuda itu.

Mengenai keputusan kerajaan supaya matapelajaran matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris, beliau menggesa ditubuhkan jawatankuasa perancangan dan perlaksanaan untuk memperhalusi cadangan tersebut.

"Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak Melayu memang lemah. Bagaimanapun, Pemuda Umno berpendapat usaha untuk menangganinya hendaklah dibuat secara sistematik dan objektif agar menetapi yang disasarkan.

"Pemuda tidak mahu cadangan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar matapelajaran matematik dan sains akan merugikan anak Melayu. Kita tidak perlu gopoh. Kita perlu berani mengakui kekurangan yang ada dalam sistem pendirikan kita," tegasnya.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak akan dikompromi.

"Berikutan itu, Pemuda Umno mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak memperkenalkan semula sekolah aliran bahasa Inggeris di negara ini," katanya.

Hishamudin juga mengumumkan penubuhan dana institut pengajian tinggi swasta (IPTA) dengan tabungan awal berjumlah RM1.5 juta.

"Bila dicampur dengan RM5 juta dana khas bagi pelajar bumiputra dari sebelas IPTS yang diumumkan kelmarin, maka Pemuda Umno telah berjaya mengumpulkan RM 6.5 juta untuk membela pelajar Melayu,' katanya.

ADS