Pucuk pimpinan Umno hari ini digesa supaya membuka lebih banyak peluang kepada pemimpin pergerakan Pemuda Umno untuk dipilih bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.
Wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Haidar Ali Sheikh Fadzir berharap supaya tidak ada lagi pihak yang terus 'mempertikaikan' kewibawaan pemimpin pemuda semata-mata untuk menafikan peluang dipilih bertanding dalam pilihanraya umum.
Katanya, pemuda telah memberi sumbangan besar kepada kejayaan calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.
"Ini berikutan langkah Pemuda Umno melancarkan 'program masuk kampung'di seluruh negara yang berjaya mendekatkan Umno dengan orang kampung dan penduduk kawasan setinggan," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar ketua pemuda Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Hasil daripada pelaksanaan program itu, katanya, rakyat sudah memahami segala usaha kerajaan untuk membangunkan rakyat luar bandar, khususnya, masyarakat Melayu.
Berikutan itu, katanya, mereka terus memberi sokongan kepada BN, amnya, dan Umno khususnya, dalam setiap pilihanraya yang diadakan.
Kekalahan Perancis
Sementara itu, wakil Perak, Fadli Abdullah Sani menggamatkan dewan persidangan apabila beliau menyamakan cara pemilihan calon pilihanraya dengan nasib pasukan Perancis yang gagal dalam perlawanan bolasopak piala dunia yang berlangsung sekarang.
Katanya, sebagai seorang penyokong pasukan Perancis beliau amat kecewa dengan kekalahan pasukan itu, lalu cuba mencari puncanya.
"Daripada maklumat yang saya dapat, rupa-rupanya, keseluruhan pemain pasukan Perancis itu adalah pemain yang sama memenangi Piala Dunia pada tahun 1998. Oleh kerana terlalu percaya dengan keupayaan yang lalu, maka pasukan yang sama dihantar bermain kali ini.
"Bagaimanapun, pasukan itu tewas, dan barulah pengurus dan jurulatihnya sedar bahawa pasukan yang menang pada tahun 1998 lalu, tidak semestinya boleh menang kali ini.
"Kalau ini diumpamakan dengan pemilihan calon dalam Umno, patutlah pemimpin tertinggi parti mengambil iktibar daripada cerita ini," katanya.
