'Peralihan kuasa di Kelantan tak perlu disegerakan'

       

Peralihan kuasa di Kelantan tidak perlu disegerakan kerana menteri besar Datuk Nik Aziz Nik Mat masih sihat dan mampu menguruskan pentadbiran kerajaan dengan baik, kata timbalan menteri besar, Datuk Ahmad Yakob.

"Perkara ini tidak berbangkit. Ia tidak perlu dicerita dan disegerakan. Sekarang ini kita lihat Tok Guru (Nik Aziz) pun masih sihat.

"Perjalanan pentadbiran kerajaan negeri pun berjalan dengan baik," katanya.

Beliau - yang disebut-sebut sebagai calon pilihan bagi menggantikan Nik Aziz - diminta mengulas spekulasi berterusan terhadap peralihan pucuk kepimpinan kerajaan Kelantan.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Nik Aziz menamakan bakal penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.

Bagaimanapun, exco kanan negeri, Datuk Husam Musa, antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Nik Aziz pula dilaporkan berkata, Ahmad lebih lanyak menggantikan Nik Aziz.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Ahmad berkata, pandangan dan cadangan beberapa pihak berhubung perkara itu hanyalah pendapat peribadi semata-mata.

Mengulas mengenai nama-nama yang sering dispekulasikan itu pula, Ahmad hanya berkata:

"Semua orang ada keistimewaan masing-masing. Kalau amanah, (beliau) akan boleh bawa (mentadbir). Tidak ada sebab perkara ini (peralihan kuasa) untuk disegerakan."

Walaupun disebut-sebut sebagai calon pilihan, Ahmad berkata beliau "tidak terfikir" lagi berhubung perkara itu.

"Masing-masing patut buat kerja masing-masing. Apabila sampai masanya, patah tumbuh, hilang berganti," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda