Hudud PAS jadi sasaran utama perwakilan Wanita

comments     Nash Rahman     Published     Updated

Seorang perwakilan Wanita Umno hari ini mempersoalkan mengapa terdapat perbezaan dalam Undang-undang hudud PAS Kelantan dan Terengganu yang ditentang oleh golongan wanita di negara ini.

Wakil Johor, Dr Rubiah Kosai mendakwa undang-undang hudud Kelantan tidak mengandungi seksyen 9 sepertimana yang terdapat di dalam rang undang-undang hudud Terengganu yang menyentuh mengenai mangsa rogol, yang diwajibkan membawa empat saksi sebagai bukti dia dirogol.

"Apakah ini bermakna yang PAS Terengganu pimpinan (Datuk Seri) Abdul Haji Awang itu lebih alim daripada PAS Kelantan pimpinan (Datuk) Nik Aziz Nik Mat, sehingga rang undang-undang hudud Terengganu berbeza daripada Kelantan," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Wilayah, menegaskan demikian ketika membahaskan usul agama di perhimpunan agung Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Katanya, tindakan PAS Terengganu yang tergesa-gesa untuk membentangkan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri bulan depan, jelas menunjukkan yang parti itu berbuat demikian semata-mata untuk memenuhi janjinya kepada rakyat sewaktu pilihanraya umum lalu.

Beliau berkata, pemimpin PAS di negeri ini kini sudah terdesak sehingga menghasilkan suatu rang undang-undang hudud yang lebih merupakan hudud PAS, dan bukannya mencermin hudud yang diturunkan oleh Allah.

"Hudud adalah hukum Allah, bukannya hukum PAS. Kerana itulah kaum wanita bangkit menentang kerana apa yang hendak dilaksanakan oleh PAS Terengganu itu, yang menzalimi kaum wanita," tegasnya.

Sukatan pelajaran

Sementara itu, wakil Pulau Pinang, Normala Abdul yang membahaskan usul yang sama, menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap golongan atau orang perseorangan yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik mereka.

Selain itu, beliau juga menggesa pihak berkuasa supaya mencegah kegiatan yang boleh mendedahkan umat Islam terhadap perbuatan sumbang mahram yang semakin meningkat sekarang.

Katanya, ini termasuklah pendedahan terhadap bahan-bahan yang boleh merosakkan akhlak umat Islam, seperti pengedaran bahan lucah yang mudah diperolehi sekarang.

"Kita juga mencadangkan supaya sukatan pelajaran agama di sekolah dipastikan bertujuan mendidik pelajar mengenai akhlak yang baik, dan bukannya dipelajari setakat untuk luluskan peperiksaan sahaja," tambahnya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In