Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

BNM siasat pemindahan RM10 juta oleh MB NS

Yip Ai Tsin

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bank Negara (BNM) sedang menyiasat seorang pengurup wang tempatan yang didakwa terbabit dalam pemindahan RM10 juta ke London oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 2008.

BNM mengesahkannya semalam tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

"Sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan, pihak bank akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan hasil siasatanya yang di luar bidangkuasa Bank Negara untuk tindakan mereka selanjutnya.

"Sebaik sahaja siasatan siap, BNM akan merujuk perkara itu kepada pejabat Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, pengarah strategi PKR, Tian Chua mendakwa Mohamad mungkin telah melanggar undang-undang pembankan negara kerana didakwa memindahkan RM10 juta melalui seorang pengurup wang.

Tian Chua juga mendedahkan bahawa Mohamad telah menggunakan perkhidmatan Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd untuk memindahkan wang tersebut ke London.

Semalam, BNM berkata Salamath Ali telah melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998 dan lesennya telah dibatalkan pada 26 Oktober.

Mohamad yang juga ADUN Rantau, menjadi sasaran pembangkang sewaktu sidang dewan undangan negeri yang sedang berjalan.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Wakil rakyat pembangkang juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perkara itu. Berita asal