kemaskini 3.15pm Sekumpulan kira-kira 100 penyokong Pemuda BN berkumpul di depan bangunan DUN Pulau Pinang dan seorang dalam kumpulan itu membakar foto Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Ia dianjurkan sebagai membantah pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa "tidak cekap dan teragak-agak" membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan juga gagal menunaikan janji pilihan raya umum 2008.
Dikepalai oleh ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, tunjuk perasaan itu bermula kira-kira 12.15 tengah hari dan berakhir hampir sejam kemudian ketika sidang DUN Pulau Pinang sedang berlangsung hari ini.
Penunjuk perasaan menaikkan sepanduk anti-kerajaan dengan dakwaan ia tidak cekap mengendalikan beberapa masalah seperti Kampung Buah Pala, Rumah Hijau Mak Mandin dan juga projek kontroversi menebus guna tanah.
Ketua Pemuda Gerakan negeri Oh Tong Keong kemudian menjelaskan insiden membakar poster Lim bukan tindakan Pemuda BN tetapi seorang penduduk Kampung Buah Pala yang turut hadir di situ.
Beliau memberitahu Malaysiakini petang ini bahawa mereka merancang agar perhimpunan itu berlangsung secara tertib dengan hanya membawa sepanduk dan poster.
Bagaimanapun seorang lelaki pertengahan umur tiba-tiba menyertai tunjuk perasaan itu dan kemudian mengambil sekeping poster lalu memijak dan membakarnya.
"Saya telah cuba menghalangnya (berbuat demikian) tetapi keadaan menjadi tidak terkawal," kata Oh.
Tambahnya, polis kemudian membawa lelaki tersebut dan seorang pegawai polis Cawangan Khas memberitahunya bahawa lelaki itu seorang penduduk kampung itu yang kini telah diranapkan untuk projek pembangunan.
Menurut Oh lagi, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala sebelumnya berkunjung ke bangunan DUN untuk menyerahkan memorandum kepada ketua menteri dan meninggalkannya ketika kumpulan Pemuda BN itu sedang berdemonstrasi.
Katanya, semua penyokong Pemuda BN memakai baju putih dan berseluar hitam, manakala lelaki yang membakar itu berpakaian warna.
"Kami mengutuk tindakan membakar poster. Jika anda ada rungutan, anda harus menyatakan secara aman," katanya, yang juga timbalan ketua Pemuda Gerakan Malaysia.