Most Read
Most Commented
Read more like this

Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menegaskan orang Melayu sudah tidak lagi mengutamakan perpaduan dan apa sahaja boleh memecahbelahkan mereka, termasuk perebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk terhadap pemimpin, kekecewaan tidak mendapat peluang perniagaan, hasutan parti lawan dan perasaan terlalu terselamat.

Malah, katanya, mereka bukan sahaja sanggup berpecah tetapi ramai yang sanggup bersubahat dengan orang yang bermusuh dengan orang Melayu untuk menggagalkan perjuangan orang Melayu.

"PAS yang dahulu mengkafirkan Umno kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam, sekarang sanggup berpeluk-peluk dengan pemimpin DAP yang menolak Malaysia sebagai negara Islam," katanya.

Berucap merasmikan perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini, Mahathir berkata kini pemimpin Umno dituduh kononnya tidak percaya pada hari akhirat dan bermacam-macam lagi.

"Penyokong PAS tidak menyoal apakah buktinya tuduhan-tuduhan ini benar. Bagi mereka apa sahaja tuduhan terhadap Umno oleh pemimpin mereka mestilah dianggap sebagai benar," tegasnya.

Menurutnya, permusuhan terhadap Umno itu bukan lagi kerana perbezaan politik atau agama, tetapi kerana terpengaruh dengan PAS yang menyemai perasaan benci sejak kecil yang amat sangat, sehingga sehingga orang Umno bukan sahaja dianggap tidak Islam tetapi pemimpin Umno digambarkan sebagai ''Firaun'' dan''barua''.

Zaman jahilliah

Katanya, keadaan umpama itu wujud di zaman Jahilliah di mana kabilah-kabilah Arab berperang sesama mereka, walaupun mereka sendiri tidak tahu apa sebabnya mereka bermusuh, sehinggalah Rasullullah dan mereka akhirnya berjaya mendirikan empayar yang terbesar yang kekal selama 1300 tahun.

"Inilah keadaan yang kita lihat di kalangan orang Melayu sekarang. Politik yang tidak rasional, politik benci sudah menular sehingga menghancurkan nilai yang mulia yang diajar oleh agama Islam seperti bersyukur, berterima kasih, bersaudara sesama Islam dan lain-lain," katanya.

Oleh itu, katanya, orang Melayu, yang juga orang Islam yang teramai sekali di Malaysia, belum selamat kerana walaupun Malaysia sudah banyak maju, mereka masih menjadi kaum yang lemah, kaum yang termiskin di negara kita ini.

"Jika kita keluarkan orang Cina dengan segala-gala yang dibina dan dimiliki oleh mereka, tidak akan ada bandar kecil atau besar di Malaysia, tidak akan ada perniagaan dan perusahaan, dan tidak akan ada dana daripada cukai pendapatan dan korporat untuk membiayai segala subsidi, bantuan dan kemudahan untuk orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, orang Melayu boleh jadi selamat, boleh maju dan menebus sepenuhnya maruahnya, jika mereka sedar sedar akan bahaya yang dihadapi sekarang dan membuat persiapan untuk mengatasinya.

"Janganlah mengkafirkan orang Islam dengan sewenang-wenangnya sehingga tidak dapat bersaudara atau pun sekurang-kurangnya bekerjasama di hadapan musuh yang sama. Biarlah musuh yang sama ini dikalahkan dahulu, dan kemudian kembalikan kepada 'permusuhan' sesama kita," katanya.

Islam pentingkan keadilan

Mengenai hukum hudud, Dr Mahathir berkata, undang-undang yang dicipta oleh manusia yang membawa kepada ketidakadilan bukanlah undang-undang Islam, walau apa pun nama yang diberi kepadanya.

"Semua kita, orang Islam dan bukan Islam, tahu bahawa keadilan bermakna penjenayah yang mesti dihukum dan bukan mangsanya. Undang-undang gubahan manusia yang menghukum mangsa sebagai bersalah sudah tentu tidak adil dan tidak Islam," tegasnya.

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa orang Islam di Malaysia adalah bersifat fundamentalis, dengan berpegang kepada asas-asas ajaran Islam, asas yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis yang sahih.

Katanya, ajaran Islam yang "fundamental" dan sebenar tetap akan menjadi kita orang Melayu sebagai manusia yang baik dan berjaya.

"Tetapi ramai daripada kita orang Melayu yang semuanya beragama Islam, ramai yang mengikut nafsu dan mencipta serta menafsir ajaran Islam untuk menghalalkan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama kita. Dan lepas itu kita tidak faham kenapa kita gagal.

"Tugas Umno, tugas kepimpinan Umno, tugas semua ahli Umno ialah untuk menyeru dan memberi panduan serta contoh teladan kepada semua orang Melayu supaya kembali kepada jalan yang benar," katanya.

ADS