Pada Hari Raya Aidil Adha dua hari lalu, penantian ramai penonton stesen televisyen NTV7 untuk tayangan filem Tjoet Nya Dhien tidak berpenghujung.
Filem yang ditayangkan lain daripada yang diwar-warkan dua minggu sebelumnya, penuh dengan sedutan yang begitu mengasyikkan.
Sayang, pada Hari Raya Korban, filem hebat wanita Aceh lakonan Christine Hakim terkorban.
Sebaliknya stesen swasta itu menayangkan sebuah filem yang dilabelkan sesuai untuk tontonan kanak-kanak 13 tahun dan ke atas, padahal slot tayangannya masa perdana untuk keluarga, iaitu pukul 2 petang pada hari cuti am.
Filem Tjoet Nya Dhien yang sepatutnya ditayangkan selama 90 minit ini sememangnya satu filem patriotik serta ' artistic ' dan satu-satunya filem Indonesia yang telah mendapat beberapa anugerah antarabangsa.
Walau ditonton sekali, filem ini pasti meninggalkan kesan yang mendalam, malah rasa ingin menontonnya berulang-kali untuk menghayati watak Tjoet Nya yang dibawa dengan begitu berkesan oleh Christine.
Sehingga kini, pelakon utama wanita ini sering kali dikaitkan dengan Tjoet Nya Dhien kerana kejayaannya menjiwai watak itu.
Tjoet Nya Dhien mengisahkan kehebatan perjuangan politik seorang wanita Aceh - pada asalnya hanya seorang suri rumah yang tidak punya apa-apa peranan berunsur politik.
Gerak gempur Aceh
Berlatar belakang zaman akhir abad ke-19, Tjoet Nya merupakan isteri Teuku Umar, pada masa itu seorang tokoh pejuang Aceh yang disegani oleh bangsanya dan ditakuti oleh penjajah Belanda yang bertapak di bumi Aceh.
Apabila suaminya Teuku Umar ditewaskan Belanda, Tjoet Nya dengan sokongan Pang Laot, terpaksa angkat senjata, berjuang menentang penjajah dan menjadi inspirasi setiap gerak gempur bangsa Aceh.
Tjoet Nya dapat mengungkit perasaan gedik dan kemarahan pasukan Marsose (Belanda) melalui ketabahan dan kecekalan hatinya yang terjelma daripada suri rumah - telah bertukar panglima yang mengetuai pasukan perang menyerang penjajah.
Walaupun jalan berliku menentang penjajahan itu sudah terpahat dalam dirinya sejak awal lagi oleh suaminya, namun gejala-gejala musang berbulu ayam menanti Tjoet Nya.
Meskipun begitu, Tjoet Nya melangkah kecurangan, penindasan dan pengkhianatan - ciri-ciri konflik yang semestinya ada dalam setiap jaringan politik yang tidak berasaskan perikemanusiaan - tanpa sekali-kali membiarkan dirinya terperangkap.
Filem 1988 yang dianggap sebagai mutiara debut sutradara Eros Djarot ini dengan begitu tajam sekali dapat merangkap suasana tanah Aceh dan budaya serta cara hidup seharian masyarakatnya pada zaman itu.
Menjiwai 'revolusi'
Filem Eros Djarot ini tersenarai antara filem yang bermutu di Pesta Filem Cannes pada 1989 dan juga dicalonkan sekali lagi pada 1990.
Apatah lagi kerja kamera yang lancar memperlihatkan filem ini bukan sahaja dijiwai penerbitnya tetapi juga satu kerja profesional yang tidak ' cut corners '.
Muziknya juga begitu mendebarkan, rapi sekali bersama cerita yang diperkayakan dengan mesej patriotisme dan keberanian bangsa Aceh yang sedia dikenali punyai sejarah yang begitu panjang, penuh liku dan warna-warni.
Dengan gandingan pelakon tersohor seperti Christine Hakim, Slamet Rahardjo dan Pietrajaya Burnama, sayang seribu kali sayang rakyat Malaysia akhirnya tidak dapat menonton filem hebat ini dan menjiwai "revolusi" yang diketuai oleh seorang wanita.
Apatah lagi budaya dan pemikiran orang Aceh yang masih dekat dengan jiwa penonton Malaysia. Sudah tentu Tjoet Nya Dhien dapat dihayati dengan sepenuh jiwa, lebih-lebih lagi orang Melayu.
Apakah punca sebenar filem ini menjadi korban di saat-saat akhir pada Hari Raya Aidil Adha masih belum dijawab. Mungkin kita tidak akan mengetahui puncanya sampai bila-bila.
Tetapi mungkinkah mesej filem ini terlalu 'terang' dan mempunyai persamaan yang begitu ketara dengan pergolakan politik tanah air?
Apakah mungkin penonton Malaysia dapat melihat beberapa persamaan dengan seorang suri rumah di negara ini yang terpaksa terjun ke medan politik kerana suaminya?
ZAKIAH KOYA adalah wartawan malaysiakini
