Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Blok konkrit punca jambatan runtuh di Kuala Dipang
Diterbitkan:  Dec 1, 2009 6:50 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Jawatankuasa yang menyiasat kes jambatan gantung runtuh di Pusat Ko-kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan mendapati sebab utama keruntuhan adalah berpunca daripada kegagalan blok konkrit tambatan di "Pylon A" untuk menampung beban tambahan dari "back-stayed cable".

Menurut jawatankuasa itu jambatan yang dibina hasil sumbangan pihak swasta itu didapati tidak berasaskan kepada kod rekabentuk kejuruteraan dan spesifikasi kerja yang baik.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata berdasarkan perkiraan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beban hidup di atas jambatan yang mampu ditanggung oleh blok tambatan sedia ada hanya 0.08 kN/m atau maksimum murid yang boleh ditanggung hanya lapan orang (dengan beranggapan berat seorang murid 35kg).

"Kementerian Pelajaran Malaysia akan mendapatkan pandangan dari Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Jabatan Peguam Negara dalam menentukan tindakan yang wajar diambil terhadap pihak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang memeranjatkan seluruh negara pada 26 Okt lepas, tiga murid sekolah rendah iaitu N Dina Devi dan M Devatharshini dari SJKT Mambang Di Awan dan V Divyashree dari SJKT Gopeng maut setelah terjatuh daripada jambatan gantung yang runtuh ketika mengikuti kem 1Malaysia murid-murid sekolah rendah daerah Kinta Selatan anjuran Pusat Ko-kurikulum Negeri Perak.

Berikutan kejadian tersebut, satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyiasat secara terperinci kejadian tersebut.

Jawatankuasa itu turut dianggotai exco pendidikan kerajaan Perak, pengarah JKR Perak dan ketua polis daerah Kampar. BERNAMA

ADS