Malaysiakini BERITA

Misteri di sebalik 'Task Force 2010'

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pasukan petugas untuk keamaan di Selatan Thailand, Task Force 2010, kini menjadi perbualan politik tanahair selepas pasukan itu dikaitkan dengan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Isu kerajaan perpaduan menggegarkan PAS sehingga Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat mendesak supaya diadakan muktamar khas bagi membincang pembabitan beberapa pemimpin parti itu dalam usaha tersebut.

NONE Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan oleh barisan tertinggi PAS, muktamar itu digantikan dengan seminar politik yang berlangsung bulan lalu.

Malaysiakini telah beberapa kali menghubungi pejabat pasukan petugas bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu sejak awal minggu ini bagi mendapatkan penjelasan daripada ketua pengarahnya Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar.

Bagaimanapun, setiap kali dihubungi, kakitangan pejabat itu berkata Wan Abu Bakar "ada tetamu dan tidak dapat menjawab panggilan" dan "sedang bermesyuarat".

Berikutan itu, Malaysiakini berkunjung ke pejabat pasukan petugas itu semalam, yang terletak di sebuah kawasan perumahan di Jalan Aman, Kuala Lumpur.

Usaha mencari pejabat tersebut agak sukar kerana tiada papan tanda dipasang, begitu juga dengan nombor rumah tersebut.

NONE Berikutan itu, wartawan terpaksa bertanya kepada penduduk yang ditemui di situ.

Apabila ditanya mengenai "rumah askar", lelaki tersebut berfikir sejenak dan kemudiannya menuding jari ke arah sebuah rumah banglo dua tingkat di situ.

Rumah yang dicat dengan warna agak kekelabuan itu juga bertembok batu tinggi, manakala pintu pagarnya bertutup.

Walaupun pejabat tersebut terletak betul-betul di belakang Hotel Crown Princess di Jalan Tun Razak, tetapi jalan masuk ke situ agak bersimpang-siur dan boleh mengelirukan.

Malaysiakini tiba ke pejabat tersebut pada kira-kira jam 4 petang semalam. Oleh kerana pintunya bertutup, maka wartawan menelefon pejabat tersebut tetapi tidak berjawab.

Selepas lima minit kemudian kelihatan tiga kakitangan lelaki, yang berpakaian kemas dan merambut pendek ala-tentera, muncul dari dalam rumah itu dan berjalan menuju ke arah pintu pagar.

Wartawan Malaysiakini menemui mereka sambil memperkenalkan diri dan juga menghulurkan kad nama.

Selepas dimaklumkan mengenai tujuan kedatangan akhbar web itu, mereka berkata Wan Abu Bakar tiada di pejabat. Sebelum beredar, mereka sempat bertanya sedikit sebanyak mengenai Malaysiakini .

Task Force 2010 (Malaysia) dibentuk daripada gabungan dua agensi penyelaras di negara ini dan Thailand pada Januari 2007 bagi membawa keamanan di tiga wilayah yang sedang bergolak - Pattani, Yala dan Narathiwat.

NONE Penubuhannya dibuat hasil perbincangan antara perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pengerusi Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mahu mengembalikan kestabilan di selatan Thailand.

Bagaimanapun, fungsinya dilaporkan akan ditamatkan pada penghujung tahun ini dan segala peranannya akan diambil alih oleh agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

Awal minggu ini, nama pasukan petugas tersebut muncul kembali apabila Nik Abdul Aziz berkata terdapat usaha menjatuhkannya yang melibatkan seorang pegawai tentera, dikenali sebagai 'Kolonel Mat'.

Sumber yang dekat dengannya tidak menolak kemungkinan pegawai tentera itu mempunyai kaitan dengan Task Force 2010 walaupun mereka masih tidak jelas sama ada watak tersebut benar-benar wujud atau hanyalah kiasan semata-mata.

Menjelang muktamar pemilhan PAS Jun lalu - yang menyaksikan pertarungan sengit jawatan nombor dua parti itu antara exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa - nama Task Force 2010 mula diperkatakan.

Laporan di blog-blog mendakwa Nasharuddin mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pasukan petugas khas itu dan cuba membabitkan Nik Abdul Aziz tetapi mursyidul am PAS didakwa tidak menunjukkan minat.

Selain Nasharuddin, exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga turut dikaitkan dengan Task Force 2010 yang mula menukar arahnya kepada isu "perpaduan Melayu" susulan keputusan pilihan umum 2008 yang memihak kepada pembangkang.

Penulis blog yang aktif menulis tentang pasukan itu, antaranya, Abdul Rahman Abdul Talib ( Malaysia Waves ) yang sering mendedahkan konflik dalaman PAS, Abu Bakar Mohd Rashid ( Penarik Beca ) yang mengamat politik dalaman parti Islam itu dan bekas pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Syed Azidi Syed Abdul Aziz ( Kickdafella ) - yang bertembung secara terbuka dengan menantu Nik Aziz.