Melayu bukan Umno tidak lemah: Keadilan
Keadilan menyifatkan orang Melayu yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno semalam adalah ahli Umno yang telah membentuk budaya materialistik sehingga menyebabkan Melayu dilihat mudah dibeli melalui kontrak, saham, rasuah dan perniagaan.
Oleh itu, Naib Ketua Pemuda Keadilan Muhammad Zahid Md Arip menegaskan bahawa apa yang disebut oleh Dr Mahathir sebenarnya adalah ciri-ciri orang Melayu dalam Umno sendiri.
"Mereka adalah golongan yang menikmati pelbagai kemudahan seperti peruntukan saham, kontrak, peluang perniagaan dan kuasa.
"Melayu jenis inilah yang menggadaikan keistimewaaan Melayu. Mereka ingin cepat kaya dengan menjual kemudahan yang mereka perolehi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, beliau berkata Dr Mahathir harus meletakkan jawatan kerana budaya yang dipupuknya didalam Umno telah menyebabkan seluruh bangsa Melayu dipandang hina.
Katanya, Dr Mahathir tidak boleh menyalahkan Melayu kerana dipandang hina kerana puncanya ialah sikap pemimpin Umno yang hanya mengagihkan perniagaan di kalangan penyokong masing-masing sahaja.
Daya juang
Dalam ucapannya semalam Dr Mahathir mendakwa orang Melayu sudah tidak mengutamakan perpaduan dan senang di pecahbelahkan oleh apa sahaja termasuk perebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk terhadap pemimpin, kehilangan peluang perniagaan, hasutan parti lawan dan perasaan terlalu terselamat.
Sehubungan itu, Muhammad Zahid berkata majoriti orang Melayu tidak perlu merasa rendah diri dan bersalah kerana "orang Melayu bukan Umno" tidak memiliki ciri-ciri Melayu yang disebut dalam ucapan Mahathir.
"Melayu sebenarnya tidak lemah dan mempunyai semangat juang yang tinggi serta bersedia melakukan perubahan di negara yang tercinta," katanya.
Walaupun sering ditindas oleh Umno, katanya, "Melayu bukan Umno" tetap mempunyai semangat, daya juang dan daya saing yang tinggi.
"Hanya Melayu sebeginilah yang dapat memulihkan semula imej Melayu," katanya.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now