Berita Malaysiakini

PMBK: Menantu Nik Aziz letak jawatan Mac depan

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman akan meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuatkuasa 23 Mac 2010.

Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul berkata, berdasarkan terma surat pelantikannya, beliau perlu memberi notis 90 hari untuk meletak jawatan.

azlan Berikutan itu, katanya, beliau akan memberi notis peletakan jawatannya pada 24 Disember ini.

"Ini bermakna tarikh akhir saya akan berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010," katanya, sambil menambah tarikh rujukan itu berpandukan kalendar hijrah yang menjadi amalan sistem bayaran gaji oleh PMBK.

Menurutnya, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira masa yang perlu diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mencari penggantinya untuk menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi berkata, ia bertujuan untuk memastikan PMBK dapat beroperasi seperti biasa setelah ketiadaan beliau.

"Dalam tempoh yang sama, tempoh ini akan diambil untuk menyiapkan kerja-kerja akhir merujuk kepada beberapa perkara yang telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah PMBK sebelum ini," katanya.

Merujuk kepada sidang media bersama beliau dengan Nik Aziz pada 23 november lalu, Ariffahmi berkata, beliau sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan dan akur dengan nasihat menteri besar kelantan itu supaya meletak jawatan sebagai CEO PMBK.

"Dalam sidang media tersebut, Tuan Guru (Nik Aziz) menasihatkan saya untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi tujuan peletakan jawatan saya selaras dengan terma-terma pelantikan," katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum itu, ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 2.40 petang tadi, Abdul Ariffahmi berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung tarikh peletakan jawatannya dalam PMBK.

Pada 25 November lalu, Nik Aziz diminta menasihatkan Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan bagi "menutup segala pintu fitnah" terhadapnya.

Keputusan itu dicapai ekoran mesyuarat khas Nik Aziz yang juga mursyidul am parti itu bersama timbalannya Datuk Dr Haron Din, presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, naib presiden Salahuddin Ayub dan bendahari agungnya, Dr Hatta Ramli.