Isu pendidikan: Pemuda Umno beri amaran kepada Dong Jiao Zong

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Pemuda Umno hari ini memberi amaran keras kepada pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong dan kumpulan yang sealiran dengannya, kerana mewujudkan suasana pendidikan yang tidak berteraskan integrasi nasional di negara ini.

Ketika mencadangkan usul pendidikan di perhimpunan agung Umno, Exco Pemuda Datuk Dr Zamri Abdul Kadir berkata pergerakan itu bersedia "menentang sesiapa yang menghalang ke arah (kewujudan) integrasi nasional".

Amaran itu juga meliputi akhbar-akhbar berbahasa Cina yang mula memainkan isu dengan mendakwa penggunaan bahasa Inggeris sebagai cubaan awal untuk menghapuskan identiti sekolah aliran Cina.

"Sentimen ini amat berbahaya kerana ia boleh membawa perpecahan di kalangan kaum. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya kita memastikan sekolah wawasan diterima secara bulat," kata Zamri, dari bahagian Teluk Intan, Perak.

Hujahnya, sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia tidak perlu kepada kewujudan sistem pendidikan yang berteraskan etnik masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk mewujudkan bangsa Malaysia dalam menghadapi era globalisasi, masih ada sekelompok kecil yang masih diterajui sentimen perkauman untuk membentuk sistem pendidikan mereka sendiri.

"Mereka ini seperti lupa bahawa mereka dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, tetapi berada di dalam suatu pendidikan yang asing daripada Malaysia," katanya.

Penggunaan bahasa Inggeris

Menurut Zamri, Pemuda Umno akan menentang golongan ini sebagaimana penentangan terhadap tuntutan 17 perkara oleh Suqiu sebelum pilihanraya umum 1999 supaya mengikis fahaman chauvinis mereka.

Dalam usaha menentang Suqiu pada pada tahun 2000, sekumpulan anggota Pemuda Umno yang diketuai timbalannya Datuk Aziz Sheikh Fadzir telah menyerbu Dewan Perhimpunan China Selangor, tempat Suqiu beroperasi, mendesak supaya menarik balik segala tuntutan.

Malahan, ketika itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang juga exco pemuda, turut memberi amaran kepada kaum Cina bahawa bangsa Melayu akan mempertahankan hak-hak ketuanan Melayu dengan apa cara sekalipun jika digugat oleh Suqiu.

Selain itu, Pemuda Umno turut mengingatkan pengendali institusti pendidikan tinggi swasta (IPTS), terutamanya yang menjalankan program 3+0 dengan universiti luar negara, agar lebih prihatin dengan bilangan bumiputra di institusi mereka.

"Bilangan yang kurang dari sepuluh peratus sangat membimbangkan kerana keprihatinan terhadap had bilangan kaum bukanlah merupakan tanggungjawab kerajaan semata-mata," kata Zamri.

Sejajar dengan itu, katanya pemuda bersedia memberi komitmen untuk membantu bumiputra di IPTS, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Oleh itu, katanya, Pinjaman Tabungan Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) mestilah mengkaji semula had pinjaman kepada pelajar untuk membolehkan mereka mengikuti pengajian di IPTS.

Penggunaan bahasa Inggeris

Zamri juga menyarankan bahawa agar satu insitusi simpanan wang sepertimana Tabung Haji diwujudkan untuk membolehkan pelajar Melayu mengikuti pendidikan di IPTS, yang kosnya jauh lebih tinggi dari institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

"Pemuda mencadangkan agar Tabung Simpanan Pendidikan Bumiputera diwujudkan untuk menggerakkan orang Melayu ke arah amalan simpanan pendidikan anak-anak, agar tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada kerajaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata IPTS yang dikendalikan oleh Bumiputera dan pelajar-pelajarnya yang ada kini mestilah dibantu kerana banyak institusi tersebut hampir gulung tikar kerana pelajar-pelajarnya tidak mampu untuk membayar yuran.

Dalam ucapannya, Zamri turut berkata Pemuda Umno menyokong penuh pelaksanaan sistem kemasukan ke universiti berdasarkan merit kerana ia bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang yang mampu bersaing di peringkat global.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kaum Melayu agar tidak terlalu berpuas hati dengan pencapai 68 peratus kemasukan ke IPTA berdasarkan sistem itu yang diperkenalkan tahun ini, tetapi perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki pencapaian mereka.

Di dalam soal penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik yang bakal diperkenalkan tahun depan, Zamri berkata Pemuda Umno percaya kedaulatan Bahasa Melayu tidak akan terjejas sama sekali.

Demam bola

Sementara itu, Perhimpunan Agung Umno petang tadi turut menyaksikan beberapa kerusi perwakilan kosong, kerana dipercayai tidak hadir kerana menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia di antara Brazil and England.

Bagaimanapun, perwakilan yang setia bersama perhimpunan itu tidak terkecuali dari berita terkini mengenai keputusan perlawanan dramatik itu melalui pengumuman oleh Pengerusi Tetap Tun Sulaiman Ninam Shah, setiap kali jaringan dibuat, yang keputusan akhir memihak kepada Brazil dengan 2-1.

Perhimpunan itu akan berakhir esok dengan ucapan penggulungan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang juga presiden Umno.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In