Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Subsidi gula kekal, harga RM1.45 per kg
Diterbitkan:  Dec 4, 2009 3:14 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik subsidi gula dalam masa terdekat, sekaligus mengekalkan harga barangan tersebut pada RM1.45 sekilogram.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata rakyat tidak perlu panik dan melakukan pembelian pada kadar yang banyak ekoran bimbang harga barangan itu akan dinaikkan.

"Pada ketika ini kementerian belum membuat sebarang cadangan kepada Kabinet (mengenai penarikan balik subsidi gula). Jadi kami beri jaminan yang harga gula kekal sepertimana sekarang.

"Jadi kita harap kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan pengguna supaya janganlah beli gula secara berlebihan dan jangan ada yang menyorok untuk dapatkan keuntungan sebab pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius terhadap mereka yang melakukan kegiatan ini," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Tan berkata pegawai penguatkuasaan kementerian akan memantau dan memastikan tidak berlaku kegiatan pembelian berlebihan atau menyorok gula.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan gula dalam negara adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kementerian sedang mengkaji cadangan pelbagai pihak supaya menarik balik subsidi gula dalam usaha mengurangkan kadar pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia.

Ekoran kenyataan itu, Tan berkata kementerian telah mengesan terdapat pertambahan dalam permintaan terhadap barangan itu.

Katanya sebarang cadangan untuk menarik balik subsidi akan dibincangkan secara mendalam kerana walaupun ia mungkin mampu mengurangkan pengambilan gula di kalangan rakyat, subsidi itu penting untuk meringankan beban orang-orang yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM720 juta tahun ini, iaitu subsidi sebanyak 60 sen bagi setiap kilogram.

Oleh kerana gula dikenal pasti sebagai ibu kepada pelbagai penyakit, katanya kementerian akan berusaha mengurangkan kadar pengambilan gula di kalangan rakyat menerusi kempen-kempen kesedaran di seluruh negara. BERNAMA

ADS