mk-logo
Berita
SPRM minta PKR bantu cari Bala...
Diterbitkan:  Dec 4, 2009 7:36 AM
Dikemaskini: 8:20 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuan PKR untuk mencari penyiasat persendirian P Balasubramaniam dan membawanya ke pejabat suruhanjaya tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang berkata, SPRM memintanya berbuat demikian secepat mungkin.

NONE Dalam beberapa klip video yang disiarkan di Internet bulan lalu, Balasubramaniam mendakwa beliau ditawarkan RM5 juta oleh adik perdana menteri, Datuk Mohamed Nazim Razak dan peniaga permaidani Deepak Jaikishan, supaya menarik balik akuan bersumpahnya yang mendakwa perdana menteri mempunyai hubungan rapat dengan Altantuya Shaariibuu.

Shamsul Iskandar disoal oleh pegawai penyiasat SPRM Abdul Rahman Bachok selama dua jam di Putrajaya pagi ini sebagai susulan laporannya kepada SPRM terhadap Mohamed Nazim dan Deepak, kelmarin.

Shamsul Iskandar ditemani peguamnya Yusmadi Yussof, juga ketua AMK Pulau Pinang, dan lima pemimpin AMK Selangor dan Wilayah Persekutuan.

NONE Sambil menyuarakan rasa terkejutnya dengan permintaan SPRM itu, Shamsul Iskandar berkata:

"Mereka sendiri mempunyai segala kemudahan untuk mencari Balasubramaniam."

Beliau juga memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM telah meminta bantuannya untuk mendapatkan salinan akuan bersumpah pertama dan kedua Balasubramaniam.

Balasubramaniam, bekas anggota polis Cawangan Khas yang pernah diupah oleh Abdul Razak Abdullah Baginda, membuat akuan bersumpah kontroversi 3 Julai tahun lalu yang mengaitkan Najib dengan Altantuya.

Bagaimanapun, Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya itu dalam tempoh 24 jam dan kemudian lari keluar negara bersama keluarganya.

Abdul Razak, kenalan rapat Najib yang dituduh bersubahat membunuh wanita Mongolia tersebut, dibebaskan daripada tuduhan itu.

Beliau menyambung pelajaran di London selepas dibebaskan daripada tahanan reman di penjara Sungai Buloh.

Laporan Shamsul Iskandar kepada SPRM dibuat berdasarkan rakaman video satu siri temuramah dengan Balasubramaniam, dan satu salinan rakaman tersebut diserahkan kepada suruhanjaya tersebut, kelmarin.

[Baca berita penuh]

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini