Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhasrat untuk melepaskan semua jawatan dalam Umno dan kerajaan ketika parti berada dalam keadaan kukuh dan keputusannya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, selepas dipujuk, Dr Mahathir bersetuju tidak meninggalkan terus Umno selepas memimpin parti selama 21 tahun.
"Malahan, katanya, beliau akan terus membantu parti dan lebih baik kekal sebagai presiden parti," kata Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Umno malam tadi selepas pengumuman Dr Mahathir itu
Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir akhirnya telah bersetuju untuk menarik balik keputusannya setelah dirayu oleh ahli-ahli majlis tertinggi dan parti.
Sebelum itu, Dr Mahathir sewaktu menggulung perbahasan telah mengumumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional.
Bagaimanapun, beliau menarik balik hasratnya itu selepas dipujuk oleh Abdullah dan ahli majlis tertinggi Umno.
Ditanya sama ada cara Dr Mahathir mengumumkan perletakan jawatan ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno itu, mengikut perlembagaan, Abdullah berkata, sesiapa pun berhak melahirkan hasrat untuk meletakkan jawatan.
"Sekiranya beliau mahu berunding dahulu dengan mana-mana pihak untuk menyatakan hasrat untuk bersara, tentulah sesiapa pun tidak akan membenarkannya," kata Abdullah.
"(Kalau begitu) sesiapa pun tak akan ada peluang untuk melepaskan jawatan," kata Abdullah lagi.
Tidah beritahu sesiapapun
Abdullah, yang menganggap keputusan awal Mahathir itu sebagai "mengejutkan" berkata, Dr Mahathir tidak memberitahu sesiapa pun terlebih dahulu akan keinginannya untuk bersara.
"Malahan, ahli keluarganya pun tidak diberitahu akan hasrat tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Abdullah berkata keputusan Mahathir itu dihormati oleh ahli keluarga beliau.
"Yang penting, buat masa ini tidak ada apa-apa perubahan (kepimpinan) dan tidak timbul suasana yang tidak baik di dalam parti," katanya lagi.
Sehubungan itu, Abdullah menyarankan agar pihak perhubungan Umno negeri menerangkan apa yang berlaku kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.
Abdullah turut memberitahu bahawa Dr Mahathir akan pergi bercuti untuk beberapa hari, termasuk ke Bangkok atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri.
Gambar diambil dari berita RTM
