BERITA Malaysiakini

Ahmad Said nafi didesak bersara awal

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan persaraan awal beliau daripada jawatan itu disebabkan oleh tekanan dan desakan orang luar atau parti politik.

Beliau berkata persaraannya itu atas sebab peribadi dan kehendaknya sendiri setelah sekian lama berkhidmat dalam suruhanjaya itu dan bukannya kerana orang lain.

"Saya letak jawatan bukan sebab tertekan atas desakan sesiapa atau parti politik tetapi atas sebab peribadi dan kehendak saya sendiri. Lagi pun saya dah lama berkhidmat dalam SPRM," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad Said berkata persaraan awal beliau itu dibuat bagi memberi laluan kepada penggantinya dan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Dah lama saya rancang nak bersara tetapi tunggu masa yang sesuai. Sebelum ini saya sibuk dengan kerja, jadi sekarang saya nak luangkan lebih masa dengan keluarga," katanya yang telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam suruhanjaya itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), sejak 1975.

Semalam Ahmad Said mengemukakan notis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya dalam suruhanjaya itu sehingga 31 Dis ini sedangkan perkhidmatannya sepatutnya tamat pada 25 Mei tahun depan.

Bagi menggantikan tempatnya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed akan dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa 1 Jan tahun depan.

PM: Tidak berlaku tiba-tiba

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penamatan lebih awal kontrak Ahmad Said tidak berlaku secara tiba-tiba kerana beliau (Najib) sudah dimaklumkan lebih awal lagi.

Perdana Menteri berkata beliau sudah dimaklumkan dahulu tetapi orang ramai hanya mengetahui peletakan jawatan Ahmad Said baru-baru ini.

"Bukan sudden, dia sudah beritahu lebih awal lagi sebenarnya, ini cuma the question of public knowledge sebenarnya tetapi saya dah tahu lebih awal lagi sebelum isu terkini berbangkit," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada juara Kejohanan Badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional di Seremban, hari ini.

Najib juga menolak tanggapan kononnya peletakan jawatan Ahmad Said mempunyai kaitan dengan tekanan pembangkang berikutan kes kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Persaraan Ahmad Said juga tidak ada kaitan dengan tanggapan kononnya tekanan telah diberikan oleh

"Kerajaan menghormati keputusan Ahmad Said untuk bersara, sebenarnya dia sudah pun bersara tetapi berkhidmat dalam kontrak, cuma dia tidak berkhidmat sampai kontraknya habis," katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Said di atas bakti yang dicurahkan selama beliau berkhidmat dengan SPRM.

Najib percaya Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed yang akan memegang jawatan itu secara rasmi pada 1 Jan mampu terus meletakkan suruhanjaya itu sebagai sebuah institusi yang dihormati dan berwibawa.

Pulih integriti SPRM

Sementara itu, Abu Kassim berkata beliau akan menyediakan beberapa perancangan bagi mengembalikan integriti suruhanjaya itu sebaik mengambil alih kepimpinan SPRM berkuatkuasa 1 Januari 2010.

"Saya akan menyusun beberapa perancangan bagi mengembalikan integriti dan kepercayaan orang awam terhadap SPRM," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan integriti 2009 hari ini.

Selain itu beliau berkata kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) juga penting dalam memantapkan SPRM.

"Tanpa bantuan semua pihak dan orang awam, SPRM tidak dapat menjalankan kerja dengan sempurna dan cekap," katanya.

Abu Kassim melahirkan rasa syukurnya kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai suruhanjaya itu.