BERITA Malaysiakini

KB Mall baik ketika insiden kereta terjunam

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Struktur pasaraya KB Mall di sini disahkan dalam keadaan baik ketika kejadian di mana dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada parkir di tingkat tiga bangunan itu, kata pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan.

Datuk Takiyuddin Hassan berkata pengesahan itu diperoleh pada mesyuarat untuk membincangkan kejadian tersebut, yang dihadiri pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis, bomba dan pengurusan pasar raya berkenaan.

Mesyuarat itu juga mengesahkan tiada sebarang kecacatan pada bangunan itu mahupun penambahan yang tidak diluluskan oleh MPKB-BRI, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas yang diadakan di pasaraya KB Mall di Kota Bharu hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun bangunan pasar raya itu disahkan berada dalam keadaan baik, pihaknya akan mengambil langkah penambahbaikan segera bagi menjamin keselamatan orang awam.

Pada mesyuarat itu juga, semua jabatan bersetuju dan membuat keputusan untuk menutup sementara tempat letak kereta di tingkat tiga pasar raya itu sehingga kawasan tersebut dibaiki selain menunggu pengesahan berhubung langkah keselamatan yang akan diambil MPKB-BRI.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, mesyuarat terbabit tidak menyentuh soal punca kejadian dan pihak yang terlibat dalam kejadian itu berikutan ia di bawah bidang kuasa polis.

"Kita tidak sentuh soal itu kerana tidak mahu mengganggu tugas dan hasil siasatan polis, kita hanya berbincang mengenai faktor keselamatan bangunan dan orang ramai," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan mengkaji semula kesemua bangunan pasar raya di negeri ini walaupun kebanyakan pasar raya disahkan mempunyai tahap keselamatan yang sempurna.

"Memang mengikut kajian sebelum ini tahap keselamatan di semua pasar raya memang sudah baik dan sudah memadai tetapi kita tetap akan buat kajian semula terutama di pasar raya yang mempunyai tempat letak kereta di bahagian atas kerana mengambil kira kejadian kemalangan yang boleh berlaku," katanya.

Pada kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, dua pelajar kolej perubatan Masterskill di Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsudin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18 maut dan dua lagi cedera parah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, pelajar dan pemandu Nor Ain Said, 19, apabila kereta yang dipandu Nor Ain rosak dan ditolak oleh rakannya dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang pasar raya itu, lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar tersebut di tingkat bawah pasar raya berkenaan.

Sementara itu, Takiyuddin juga berkata pasaraya KB Mall yang ditangguhkan operasinya pagi tadi telah dibuka semula kira-kira pukul 2 petang tadi dan akan beroperasi seperti biasa mulai pukul 10 pagi esok.

Beliau berkata pasara raya itu dibuka setelah mengambil kira kepentingan peniaga, pekerja dan orang ramai berikutan pasar raya itu merupakan pasar raya terbesar di negeri ini yang menjadi tumpuan.

Katanya, pihaknya juga memberi jaminan terhadap keselamatan orang ramai serta mengarahkan pihak keselamatan pasar raya itu agar meletakkan papan tanda mencukupi di tempat kejadian tersebut. BERNAMA