Hasrat Mahathir letak jawatan: pemimpin BN masih terpinga-pinga
Kekeliruan masih timbul di kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional(BN) berikutan pengumuman perletakan jawatan parti dan kerajaan serta penarikan balik pengumuman tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Sabtu lalu.
Mahathir telah membuat pengumuman mengejutkan itu semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Beliau telah menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan segala jawatannya yang disandang sekarang dalam parti dan BN.
Walau bagaimanapun, setelah dipujuk oleh pemimpin-pemimpin Umno serta para perwakilan, pengumuman itu ditarik balik selepas kira-kira sejam kemudian. Mahathir sejurus itu telah meninggalkan negara untuk bercuti selama 10 hari di Eropah.
Bila ditemubual oleh malaysiakini hari ini di lobi Parlimen, beberapa pemimpin kerajaan menyatakan antara persoalan yang masih perlukan jawapan ialah sebab sebenar Mahathir ingin meletak jawatan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ong Ka Ting berkata ini bukannnya masa untuk Mahathir untuk melepaskan jawatan.
"Saya berharap beliau akan menyelesaikan segala rancangan-rancangan yang telah diterajui oleh beliau sebelum beliau meletak jawatan.
"Walau bagaimanapun, kami tahu tentang betapa kukuhnya pendirian beliau atau kebenarannya untuk meletak jawatan dan ini bukan sepertimana yang digambarkan oleh Barisan Altenatif sebagai satu sandiwara," ulas Ong lagi.
Tiada ribut, tiada hujan
Sementara itu, MP Larut Datuk Raja Ahmad Zainuddin, yang turut berada di perhimpunan Umno Sabtu lalu, berkata beliau amat terkejut apabila mendengar Perdana Menteri melaungkan hasratnya untuk meletak jawatan.
"Pengumuman ini tiada ribut, tiada hujan, tiba-tiba sahaja," kata Raja Ahmad.
Seorang lagi MP Umno, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Batang Lupar) berkata dia memang tidak boleh menerima hakikat Mahathir yang ingin meletak jawatan.
"Pengumuman ini tiada sebarang tanda. Saya hampir menitis air mata semasa mendengar berita itu," ulas dia.
Apabila ditanya sama ada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sesuai untuk menyandang jawatan sebagai PM, Wan Junaidi berpendapat memang Abdullah layak dan sesuai untuk mengambil alih tugas tugas Mahathir.
Sementara itu, Kelab Penyokong Kerajaan menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir dalam satu kenyataan hari ini.
Mereka mendakwa rakyat dari seluruh pelusuk negara dan pelbagai peringkat telah bangun serentak menyatakan penolakan perletakan jawatan oleh Mahathir.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now