Pucuk pimpinan Umno sokong keputusan Dr Mahathir

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Pemimpin tertinggi Umno hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijadualkan mengambilalih kepimpinan negara dan parti dari Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mulai penghujung Oktober tahun depan.

Bercakap semasa sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno petang tadi, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata, beliau akan menyokong sepenuhnya kepimpinan Abdullah yang merupakan pengganti yang dipilih oleh Mahathir.

"Oleh itu, saya akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada beliau," Najib memberitahu sidang akhbar yang dihadiri hampir dua ratus orang wartawan dan jurugambar.

Najib juga berkata bahawa beliau turut menghormati keputusan Mahathir, kerana percaya bahawa beliau telah memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan mengundur diri dari segala jawatan di parti dan kerajaan, tanpa sebarang tekanan dari mana-mana pihak.

"Oleh kerana beliau (Mahathir) membuat keputusan tersebut secara ikhlas, saya secara peribadi menghormati keputusan tersebut," tambah Najib, yang juga Menteri Pertahanan.

Seorang lagi naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, beliau yakin Malaysia akan terus maju di bawah kepimpinan Abdullah.

Katanya, Abdullah akan terus membawa negara menghadapi cabaran baru, termasuk penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran Sains dan Matematik, serta pelaksanaan sistem meritokrasi.

Bagaimanapun, katanya, pengunduran Mahathir dianggap sebagai kehilangan besar untuk negara kerana beliau merupakan seorang pemimpin "yang luar biasa" dan mungkin mengambil masa seribu tahun lagi untuk mendapatkan pengganti sepertinya.

Keyakinan kepada Pak Lah

Bagi seorang lagi naib presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, peralihan kuasa kepada Abdullah tidak sama sekali menjejaskan pentadbiran negara kerana ianya telah mendapat restu dari Mahathir sendiri.

"Ini menunjukkan keyakinan Perdana Menteri kepada Pak Lah dan mahukan beliau menerajui negara ini," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurutnya, penyerahan kuasa sekarang tidak akan menjejaskan Umno dan kerajaan untuk terus maju kehadapan seperti yang dicita-citakan.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata pergerakan itu akan memberi sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Abdullah.

Katanya, beliau percaya bahawa kepimpinan Abdullah nanti bakal meneruskan segala dasar-dasar yang ada dibawah kepimpinan Mahathir sekarang, malahan akan turut membuat penyesuaian yang sewajarnya.

"Saya menghargai perdana menteri yang telah menyediakan suatu jangkamasa untuk Pak Lah menggantikannnya, dan oleh itu tidak akan timbul soal bagi mana-mana pihak untuk menimbulkan sebarang spekulasi untuk pengganti beliau," kata Rafidah.

Rafidah menambah bahawa amatlah wajar bagi parti untuk terus mengekalkan status-quo di dalam peringkat peralihan kuasa tersebut.

Sokongan Pemuda

Di dalam sidang akhbar yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata bahawa beliau akan memastikan pemuda Umno akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada presiden parti (Mahathir) sehingga ke tarikh penyerahan kuasa yang telah ditetapkan.

"Saya hormat dan akur dengan pendirian perdana menteri, dan (oleh itu) bersetuju dengan tidak berbelah bagi dengan keputusannya," katanya.

Hishammuddin menambah bahawa Mahathir telah membuktikan yang beliau telah meletakkan kepentingan negara dan parti lebih dari kepentingannya sendiri serta keluarga.

Sementara itu, Abdullah berkata bahawa beliau terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh Mahathir kepada beliau dan tidak sepatutnya timbul sebarang spekulasi mengenai kepimpinan tertinggi negara kerana perdana menteri sendiri telah membuat ketetapan mengenai jawatan tersebut.

Abdullah berkata beliau akan menjalankan tugas yang dipangkunya sebaik mungkin sementara Mahathir bercuti 10 hari di luar negara buat masa ini, dan juga ketika beliau bercuti selama dua bulan dalam masa peralihan tersebut.

"Bila perdana menteri meletakkan jawatannya nanti, sayalah yang bakal mengambil alih (tugas Mahathir)," tegas Abdullah.

Disoal mengenai pemilihan jawatan di dalam Umno tahun depan, Abdullah berkata perkara tersebut tidak timbul buat masa ini, malahan permuafakatan dan semangat parti akan menyelesaikan segala masalah.

Sabtu lalu, Mahathir membuat satu kenyataan mengejut semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno untuk meletakkan semua jawatan beliau di parti dan kerajaan.

Tetapi beliau terpaksa menarik balik kenyataan itu kerana akur kepada kehendak para perwakilan dan pucuk pimpinan parti.

Ahad lalu, beberapa pemimpin atasan parti, diketuai oleh Abdullah, telah mengunjung Mahathir di rumahnya di Putrajaya untuk mendapatkan kepastian beliau untuk melanjutkan tugasnya.

Sejurus memberi keputusan tersebut, Mahathir telah pergi bercuti ke Itali selama 10 hari, dan memberi ruang kepada Abdullah and pemimpin parti yang lain untuk mengenal pasti satu pelan pengambilalihan tugas tugasnya.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In